Beli minyak masak peket luar Kelantan, seludup ke negara jiran

PASIR MAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menumpaskan sindiket aktiviti penyeludupan minyak masak peket ke negara jiran apabila merampas 7,735 kilogram (kg) barangan bersubdisi bernilai RM70,000 di sebuah rumah yang dijadikan transit di Tendong di sini pada Rabu.
Serbuan yang dilakukan sepasukan penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga pada jam 9.35 malam itu turut memberkas tiga lelaki berumur 20 hingga 40 tahun termasuk dua kenderaan disita.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil serbuan menemukan kotak yang mengandungi 455 kotak minyak masak peket bersubsidi satu kilogram dengan pelbagai jenama yang disorok di dalam kenderaan lori berwarna putih jenis Hino dan Proton Wira Aeroback.

"Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mendapatkan bekalan minyak masak dibawa masuk dari luar negeri tanpa sebarang dokumen dan kebenaran sah bagi tujuan penyelewengan ke negara jiran.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki tempatan bersama seorang kelindan berada dalam lori terbabit bersama muatan kotak-kotak berisi peket minyak masak bersubsidi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, seorang lagi lelaki berusia 30 tahun yang dikesan sedang memunggah minyak masak ke dalam sebuah kereta Proton Wira ketika serbuan dilakukan.
Ujarnya, pemandu kenderaan itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dan kini sedang diburu pihak berkuasa.

Azman memberitahu, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Dalam masa yang sama, penguatkuasa KPDN Kelantan akan terus mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Ops Tiris dan kerjasama bersepadu serta libat urus bersama agensi di sempadan negara dari masa ke semasa.
"Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mendapati terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan selain tindakan tegas turut akan diambil pihak KPDN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

