Insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol

SHAH ALAM - Kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol bagi memastikan pihak terlibat mengeluarkan bekalan minyak untuk pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah tersebut sebagai intervensi segera bagi menstabilkan bekalan minyak masak kemasan botol yang mengalami gangguan bekalan ketika ini.
Justeru beliau menjelaskan, pihaknya akan mengarahkan syarikat pembungkus mengembalikan pengeluaran pada kadar yang mencukupi bagi keperluan semasa.
"Pada masa yang sama, kementerian sedang mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak.
"KPDN akan memastikan arahan dan keputusan ini dilaksanakan bagi memastikan syarikat terlibat meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol serta merta supaya bekalan kembali stabil dalam masa terdekat," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan mempertimbangkan peruntukan insentif khas tersebut dalam memastikan rakyat memperoleh bekalan minyak masak botol khususnya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Menurut beliau, keputusan tersebut diputuskan dalam sesi taklimat khas bersama Anwar yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Sementara itu Armizan menjelaskan, antara punca berlaku gangguan bekalan disebabkan kenaikan kos pengeluaran ekoran harga minyak sawit mentah dunia (CPO) meningkat tinggi sejak dua tahun lalu.
Bagi dua bulan pertama 2025 jelasnya, harga purata CPO adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759 pada Februari.
"Susulan kesan harga tinggi CPO berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengambil pendekatan mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran kerana terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuat kuasa.
"Perintah itu mewajibkan penjualan di peringkat runcit botol lima kilogram (kg) pada kadar RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar CPO dunia iaitu RM36.16," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
