4 termasuk seorang wanita dipenjara 10 tahun sebabkan kematian tanpa niat

Jeeva (kanan baju putih), Bereamalah (dua dari kanan), Yogan Pillay (tiga dari kiri) dan Raja (belakang) bercakap dengan peguam mereka selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.
Jeeva (kanan baju putih), Bereamalah (dua dari kanan), Yogan Pillay (tiga dari kiri) dan Raja (belakang) bercakap dengan peguam mereka selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi.
A
A
A

SEREMBAN - Empat individu termasuk seorang wanita dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat seorang ejen insurans empat tahun lalu.

Hakim, Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas tertuduh, S Jeeva, 55, M Raja, 39, P Yogan Pillay, 29, dan M Bereamalah, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas beliau mempertimbangkan rayuan mitigasi peguam dan hujahan pemberat daripada pihak pendakwaan.

Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap antara November hingga Disember 2021.

Mengikut pertuduhan, mereka tanpa niat telah menyebabkan kematian P Rajasegar, 52 di sebuah menara syarikat insurans, Jalan Lintang di sini antara 10.30 pagi 12 November hingga 4.45 petang 2 Disember 2021.

Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 perundangan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian memaklumkan representasi tertuduh yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara telah diterima dan pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibenarkan di bawah pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Pihak pembelaan yang diwakili peguam Fahmi Abdullah, G Subramaniam Nair, Daniel Selvam dan Mohamed Baharudeen Mohamed Arif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum kerana pengakuan bersalah keempat-empat tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Menurut pihak pembelaan, kesemua tertuduh pertama kali melakukan kesalahan dan telah menyesal serta berjanji tidak akan melanggar undang-undang pada masa hadapan.

Fahmi yang mewakili Jeeva memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang merupakan kontraktor sebelum ini sudah berkahwin dan mempunyai dua anak tidak sabar untuk memulakan kehidupan baharu.

Subramaniam Nair yang mewakili Bereamalah pula berkata, tertuduh seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak.

"Tertuduh diheret ke dalam kes ini kerana dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah," katanya sambil menambah bahawa Bareamalah juga telah menjalani hukuman emosi dan mental yang luar biasa sepanjang direman lebih tiga tahun.

Berdasarkan fakta kes, isteri mangsa berusia 44 tahun yang bekerja di syarikat insurans sama membuat laporan pada 12 November 2021 selepas dia gagal menghubunginya mangsa melalui telefon bimbit.

Polis kemudian telah menemui kereta mangsa ditinggalkan di Banting empat hari kemudian pada 16 November 2021

Siasatan awal polis mendedahkan bahawa jenayah itu berkaitan dengan pemerasan dan polis turut menemui barangan emas milik mangsa yang dijual Bereamalah kepada sebuah kedai barang kemas di Klang.

Ketiga-tiga suspek lelaki itu juga mengetuai rombongan polis secara berasingan ke kawasan di Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat masing-masing pada 2 dan 7 Disember 2021 di mana mereka mendakwa meninggalkan mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!