Penolong jurutera kementerian, suami disyaki rasuah RM15,000 direman

SEREMBAN - Seorang penolong jurutera sebuah kementerian dan suaminya direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM15,000 daripada syarikat pemaju sebagai dorongan mendapatkan dokumen berkaitan projek perumahan di Selangor, tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 30-an dan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Seremban, Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat SPRM pada Selasa.
Perintah reman tersebut bermula pada 29 April sehingga 3 Mei ini.
Menurut sumber, pasangan suami isteri tersebut ditahan kira-kira jam 6 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Dalam kes ini suami kepada penolong jurutera yang merupakan suspek utama dipercayai bersubahat meminta suapan berjumlah RM15,000 sejak Februari hingga April 2024.
“Suspek disyaki menerima wang rasuah daripada syarikat pemaju terbabit secara tunai dengan dua kali bayaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

