JPN permudah urusan ganti kad pengenalan mangsa kebakaran

KOTA BHARU - Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kelantan (JPN) turun padang membantu mangsa kebakaran dalam urusan penggantian dokumen pengenalan diri yang rosak atau musnah kebakaran pada Isnin.
Pengarah JPN Negeri Kelantan, Halimatusaadiah Ramli berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui perkhidmatan Van MEKAR bergerak yang ditempatkan di Masjid Al-Aminin.
Menurut beliau, usaha proaktif dan tindakan segera jabatan itu dapat membantu mangsa yang ditimpa bencana berkenaan.
"Kita memahami kesemua mangsa sangat terkesan dengan kejadian itu dan bersedia memastikan mereka dapat menggantikan dokumen penting berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, kaunter dibuka bermula jam 10 pagi sehingga kesemua mangsa berdaftar.
Jelas beliau, sesuai slogan Rakyat Di Hati JPN, jabatan berkenaan sentiasa membantu memudahkan urusan mangsa.
Maklumat lanjut berkenaan Program MEKAR, orang ramai boleh menghubungi talian telefon 03-8880 8014/7077 atau emelkan ke mekar@jpn.gov.my.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Nur Zetty Salinda Mat Husin, 18, bersyukur pembukaan kaunter JPN itu tidak memerlukannya pergi ke pejabat untuk tujuan penggantian dokumen berkenaan.
"Saya hanya berjalan kaki beberapa minit sahaja untuk ke masjid bagi penggantian kad pengenalan yang hangus dalam kebakaran," katanya.
Katanya lagi, dokumen itu penting untuk membuat permohonan menyambung pengajian berikutan dia baharu sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.
Berkongsi kejadian kebakaran, kata Nur Zetty Salinda, ketika itu dia berada di kawasan rumah dan tiba-tiba melihat api marak.
"Saya kemudian berlari memasuki rumah dan mencapai fail kesemua sijil dan dokumen penting lain sebelum berlari keluar," katanya.
Bagaimanapun, anak bongsu enam beradik itu memberitahu, menyedari dompetnya berada di dalam bilik yang musnah dijilat api namun tidak sempat mengambilnya kerana api marak.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Penambang bersama ibu dan bapanya kini menumpang sementara di rumah abangnya di Taman Tengku Anis di sini.
Sementara itu, warga emas, Setawa Mahmood, 87, juga terpaksa menggantikan kad pengenalan yang musnah dalam kebakaran.
Setawa mendakwa tidak sempat mengambil kad pengenalan yang disimpan dalam begnya kerana berusaha menyelamatkan cucu yang berusia lima tahun sedang tidur.
"Saya bersyukur kerana nyawa kami selamat walaupun terpaksa menggantikan kad pengenalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!