Lapan keluarga mangsa kebakaran Kampung Kijang terima bantuan RM1,000

KOTA BHARU - Lapan keluarga mangsa kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin menerima sumbangan awal kerajaan Kelantan dari Tabung Serambi Mekah sebanyak RM1,000.
Bantuan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika melawat mangsa, sekali gus meninjau rumah yang musnah dalam bencana itu.
Beliau yang diiringi Ketua Jajahan Kota Bharu, Russydee Abdullah melakukan tinjauan hampir satu jam sebelum menunaikan solat Zohor berjemaah bersama penduduk di Masjid Al-Aminin.
Media pada Isnin melaporkan seramai 31 mangsa daripada lapan keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang pada jam 4.48 petang.
Sementara itu, Russydee berkata, bantuan tambahan dari Tabung Serambi Mekah yang berjumlah RM1,000 lagi akan diagihkan kepada mangsa dalam tempoh terdekat.
"Kita juga akan berbincang mengenai penempatan mangsa kerana kesemua mereka membina rumah di atas tanah yang disewa," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, setakat ini semua mangsa menumpang sementara di rumah anak masing-masing atau keluarga terdekat.

Seorang penerima sumbangan, Rosnani Salleh, 59, bersyukur dengan bantuan segera itu yang dapat dibelanjakan untuk keperluan hariannya bersama suami Nordin Mohd Son, 65, yang menghidap asma kronik.
Rosnani memberitahu, insiden itu mengakibatkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kerugian hampir RM100,000.
"Selain rumah hangus, kami turut kehilangan wang sebanyak RM5,000 dan sebuah motosikal," katanya.
Katanya lagi, buat masa ini mereka menumpang sementara di rumah anaknya di Kampung Pulau Senyap, Badang di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!