'Nampak asap dari jauh, tak sangka rumah sendiri terbakar'

Setawa (kiri) dan Nooranatasha melihat rumah mereka yang hangus dalam kejadian pada Isnin.
Setawa (kiri) dan Nooranatasha melihat rumah mereka yang hangus dalam kejadian pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Mangsa kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin di sini tidak menyangka asap yang dilihat kira-kira 11 kilometer dari tempat kerjanya di Pasir Pekan, Tumpat merupakan rumahnya yang terbakar.

Wan Muhammad Bazli Hakim Wan Salleh, 27, yang merupakan pekerja kedai serbaneka berkata, beberapa minit kemudian dia dihubungi ibu mentuanya, Rosdiani Abd Rahim, 40, yang memaklumkan rumah mereka dijilat api.

Wan Muhammad Bazli Hakim
Wan Muhammad Bazli Hakim

"Saya terus bergegas pulang ke rumah tetapi masih tidak terfikir yang kepulan asap tinggi itu dari kediaman sendiri," katanya.

Bagaimanapun sebaik tiba di pekarangan rumah, Wan Muhammad Bazli Hakim terkejut apabila asap yang dilihat itu datang dari rumahnya dan tujuh lagi kediaman lain turut terbakar.

Jelasnya, dalam kejadian itu, mereka sekeluarga kerugian kira-kira RM50,000 termasuk kehilangan gelang emas milik anaknya bernilai kira-kira RM6,000 yang dibeli pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Menceritakan kejadian yang berlaku, bapa dua anak itu berkata, ketika kejadian isterinya, Nooranatasha Mohd Aziki, 27, keluar bersama anak bongsunya berusia satu tahun setengah untuk menghantar barang ke rumah ibu mentuanya yang berada dua kilometer dari kediaman mereka.

"Ketika itu nenek saya, Setawa Mahmood, 87, sedang tidur di bersama anak sulung berusia lima tahun, Wan Nur Aira di tingkat atas rumah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kemudian tersedar dari tidur selepas mendengar teriakan jiran dan terus berlari keluar rumah sebelum saya sampai," katanya ketika ditemui di pekarangan kawasan kebakaran pada Selasa.

Muhammad Bazli Hakim bersyukur kerana ada jiran yang bertindak membantu membawa mereka keluar dari kawasan kebakaran sebelum api merebak dengan pantas.

Katanya lagi, mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan semua dokumen penting juga tidak dapat diselamatkan.

Wan Muhammad Bazli Hakim memberitahu, semua ahli keluarganya selamat dan mereka kini berlindung sementara di rumah mentuanya.

Media pada Isnin melaporkan seramai 31 mangsa daripada lapan keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang pada jam 4.48 petang.

Pihak bomba memaklumkan operasi pemadaman membabitkan 35 anggota bersama enam jentera dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.20 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!