Tiada halangan tukar status tanah Kampung Melayu Majidee - Perkam

Kampung Melayu Majidee terletak di tengah bandar raya Johor Bahru menjadi lokasi penempatan penduduk khususnya orang Melayu. Gambar kecil: Abdul Rahim
Kampung Melayu Majidee terletak di tengah bandar raya Johor Bahru menjadi lokasi penempatan penduduk khususnya orang Melayu. Gambar kecil: Abdul Rahim
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Permohonan menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) berstatus Pajakan Negeri 99 tahun kepada TRM hak milik kekal dibuat penduduk Kampung Melayu Majidee selepas merujuk Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff berkata, hasil rujukan tersebut mendapati tiada sebarang halangan untuk pemilik-pemilik tanah mengemukakan permohonan menukar status daripada pajakan kepada hak milik kekal.

"Selain Pejabat Tanah dan Galian negeri, rujukan turut dibuat kepada Ketua Unit Pembangunan Tanah dan Pelupusan dan Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru.

"Maklumat yang diperolehi bahawa tiada sebarang halangan untuk pemilik-pemilik tanah memohon menukar status TRM daripada hak milik pajakan kepada hak milk kekal.

"Keputusan permohonan pula terletak di atas kuasa dan budi bicara Menteri Besar Johor. Pejabat Tanah memaklumkan juga bahawa terdapat banyak TRM yang berhakmilik kekal selama-lamanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, penduduk Kampung Melayu Majidee yang berdepan risiko kehilangan tanah susulan tempoh pajakan 99 tahun yang bakal tamat dinasihatkan supaya segera membuat permohonan lanjutan pajakan.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, permohonan lanjutan itu penting kerana status Tanah Rizab Melayu (TRM) menyukarkan pertukaran daripada pajakan kepada hak milik kekal.

Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilaporkan terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Status tanah Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee ketika ini masih berstatus TRM Pajakan Negeri 99 tahun.

Status TRM Pajakan Negeri 99 tahun kampung berkenaan bakal berakhir pada 2053 atau 28 tahun lagi, sekali gus membuatkan penduduk bimbang masa depan mereka termasuk sama ada kampung berkenaan akan dibangunkan secara komersil.

Menurut Abdul Rahim lagi, petisyen dan permohonan rasmi telah dihantar kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 8 September tahun lalu, namun sehingga kini, belum ada sebarang maklum balas rasmi diterima.

"Perkam telah menghantar surat bertarikh 26 Januari memohon satu tarikh untuk ahli jawatankuasa bertemu Menteri Besar.

“Bagi menarik perhatian Menteri Besar, kami telah mengambil inisiatif menyerahkan salinan semua dokumen berkaitan termasuk petisyen dan surat-menyurat semasa Program Semarak Subuh di Masjid Kampung Sulaiman Menteri pada 23 April," katanya

Tegas beliau, Perkam membuat pendirian untuk menunggu jawapan bertulis daripada Pejabat Menteri Besar Johor terhadap surat permohonan yang telah diajukan ke pejabat berkenaan.

"Sehubungan itu Perkam telah meminta semua pemilik-pemilik tanah Kampung Melayu Majidee terus bertenang dan berdoa sehingga keputusan dibuat kerajaan negeri.

"Marilah kita terus berdoa supaya permohonan penukaran status tanah Lampung Melayu Majidee dari TRM pajakan 99 tahun kepada TRM hak milik kekal selamanya, mendapat pertimbangan yang saksama dan diluluskan, Insya-ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berharap, permohonan penduduk Kampung Melayu Majidee untuk menukar status tanah daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal perlu diselesaikan dengan teliti oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, kedudukan kampung berkenaan yang terletak di tengah bandar raya menjadikan permohonan tersebut wajar diperhalusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!