Pendirian Kelantan tak iktiraf tanah adat Orang Asli berasaskan undang-undang

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan pendirian tidak mengiktiraf 'tanah adat' Orang Asli dibuat berasaskan peruntukan undang-undang dan sistem pentadbiran tanah yang sedang berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia.
Mengikut kenyataan Pejabat Menteri Besar Kelantan, pendirian itu konsisten dengan amalan kerajaan negeri sejak sekian lama, berpandukan Kanun Tanah Negara 1965, Akta Orang Asli 1954 serta enakmen-enakmen berkaitan di negeri ini.
"Secara prinsipnya, undang-undang bertulis di Semenanjung Malaysia, termasuk di Kelantan, tidak mengiktiraf konsep 'tanah adat' sebagaimana diamalkan di Sabah dan Sarawak yang mempunyai undang-undang khusus berhubung masyarakat Orang Asal atau Peribumi (Native).
"Namun, kerajaan negeri tetap prihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli dengan mengambil langkah mewartakan penempatan dan kawasan rayau menerusi peruntukan perizaban di bawah Kanun Tanah Negara 1965," kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan masyarakat Orang Asli menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan, sebagaimana yang dinyatakan dalam ucapan penggulungan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025 baru-baru ini.
Ujar kenyataan itu, pendirian kerajaan negeri dibuat berdasarkan undang-undang bertulis dan bukan berpandukan kepada keputusan-keputusan kes mahkamah yang masih belum muktamad kerana berada di peringkat rayuan.
"Kerajaan negeri amat menghormati keluhuran undang-undang dan sentiasa komited mempertahankan hak-hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
"Dalam masa yang sama, dasar pentadbiran tanah negeri ini dilaksanakan secara teratur berlandaskan prinsip undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!