Siti Kassim, Tok Nan bertikam lidah isu Orang Asli

KUALA LUMPUR - Suasana lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin kecoh seketika selepas peguam, Siti Kassim bertembung dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Sinar Harian yang turut berada di lokasi berkenaan bagi menanti sidang akhbar peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyaksikan perang mulut antara kedua-dua individu dikenali ramai itu.
Sebelum insiden berkenaan, Adnan yang lebih mesra dengan panggilan Tok Nan dilihat berbual dan merakam gambar bersama Orang Asli di kawasan lobi tersebut.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba suasana menjadi tegang apabila kedua-dua mereka mula bertikam lidah mengenai isu Orang Asli.
Difahamkan, Siti mengeluarkan kata-kata yang meminta Orang Asli tidak mendengar cakap orang politik kerana golongan itu disifatkan sebagai penipu.
"Jangan banyak cakap, Orang Asli banyak kali sudah kena tipu. Betul tak?" soalnya.
Tidak berdiam diri, Adnan pula membalasnya dengan turut mengatakan bahawa peguam yang kerap menipu.
Adnan turut memaklumkan, beliau mempunyai hubungan baik dengan Orang Asli di Pahang.
"Awak baru sekarang. Tanya orang asli Pahang (hubungan) dengan aku macam mana. Jangan masuk campur.
"Sudahlah ini, peguam penipu, bukan hal dia tapi dia campur," katanya.
Tidak berpuas hati dengan kenyataan Adnan itu, Siti membalas dengan mengatakan bahawa gaya orang politik sememangnya begitu.
Perang mulut antara kedua-dua individu tersebut yang berlanjutan lebih 10 minit itu bagaimanapun berakhir selepas Adnan dan Siti dilihat beredar ke tempat masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

