Orang Asli Jakun berjaya halang penjualan kondominium di Keramat

KUALA LUMPUR – Seramai 65 Orang Asli suku kaum Jakun berjaya mengetepikan perintah bagi penjualan 57 unit kondominium di Lanai Gurney, Keramat iaitu aset Tabung Amanah mereka oleh RHB Trustees Berhad di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong membenarkan saman pemula dikemukakan Orang Asli itu selaku pemohon terhadap RHB Trustees yang merupakan pemegang amanah Linggiu Valley Orang Asli (Jakun) sebagai responden.
Semasa prosiding, Techiong memerintahkan, sebarang penjualan dan pindah milik semua unit kondominium yang dipegang di bawah hakmilik strata, dijual dengan harga nilai pasaran dan melalui tender terbuka atau lelongan awam.
Beliau turut memerintahkan penjualan dan pindah milik unit tersebut dikendalikan oleh perunding-perunding bebas termasuk peguam, penilai serta ejen harta pusaka selain tiada perintah berkenaan kos.
Sementara itu, peguam, Rabia Abd Halim dibantu Siti Zabedah Kasim yang mewakili pemohon ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai keputusan tersebut.
Pada 16 Julai 2024, seramai 65 Orang Asli memfailkan saman pemula, atas alasan responden enggan, cuai dan gagal untuk memaklumkan kepada semua Orang Asli terbabit untuk menjual 57unit kondominium dan persetujuan tidak diperoleh daripada semua orang asli itu.
Pemohon-pemohon menyatakan perintah jualan bertarikh 20 Jun 2023 untuk penjualan 57 unit kondominium tidak dibuat secara adil selain terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon.
Katanya, menurut laporan penilaian hartanah tersebut harga pasaran agregat adalah RM17.1 juta, namun terdapat perjanjian antara pemegang amanah dan ejen hartanah bahawa harga penjualan dinaikkan kepada RM19 juta tetapi hanya RM12 juta diberikan kepada Tabung Amanah manakala RM7 juta akan digunakan sebagai kos pengubahsuaian.
Sebanyak RM7 juta di mana baki duit diberikan ejen hartanah kononnya untuk mengubahsuai hartanah itu, sebaliknya ia percubaan untuk melucutkan hak Orang Asli,” kata pemohon-pemohon dalam alasan permohonan itu.
Menurut pemohon, penjualan 57unit kondominium itu seharusnya dijalankan secara jualan lelongan awam atau tender terbuka dan dikawal selia oleh mahkamah, bukannya ejen hartanah persendirian memandangkan kondominium tersebut kepunyaan Tabung Amanah untuk manfaat Orang Asli.
Selepas prosiding, suasana di lobi mahkamah bertukar kecoh selepas Siti Kassim bertembung dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Sinar Harian yang turut berada di lokasi berkenaan bagi menanti sidang akhbar peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyaksikan perang mulut antara kedua-dua individu dikenali ramai itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

