[VIDEO] Enam 'Abang Food Panda' cekup peragut terima surat penghargaan
MELAKA - Tindakan enam penghantar makanan yang berjaya mencekup peragut aktif di sekitar negeri ini menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Melaka, pada Isnin.
Surat penghargaan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar kepada semua penerima pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka bagi Bulan April 2025 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang.
Salah seorang penerima, Muhammad Haikal Mohd Yassin, 22, berkata, dia bersama rakan-rakannya memberkas peragut yang menyamar sebagai penghantar makanan menggunakan 'beg merah jambu' kerana perbuatan individu berkenaan menyebabkan syarikat e-hailing dipandang negatif.

Menurutnya, biarpun terpaksa bergelut dengan suspek disebabkan individu itu mahu melarikan diri, namun berpuas hati suspek berjaya diberkas dan diserahkan kepada pihak polis.
"Sebab itu kami geram, penjenayah itu seolah-olah mahu menutup periuk nasi kami yang ikhlas dan jujur dalam pekerjaan.
"Bila dapat maklumat saya mengekori suspek dari Ayer Keroh hingga ke Malim, saya ekori rapat motosikalnya sebelum lelaki itu terbabas kerana mengelak sebuah kereta dan cuba lari, namun berjaya mengejarnya," katanya yang baharu tujuh bulan bekerja sebagai penghantar makanan.

Tambahnya, dia tidak pernah bermimpi untuk menerima surat penghargaan daripada pihak polis kerana tindakan dilakukan sebagai rasa tanggungjawab dan bukannya untuk membanggakan diri.
Bagi Abdul Aziz Ibrahim, 55, yang telah lebih lima tahun dalam pekerjaan itu berkata, dia dihubungi polis pada Isnin lalu berhubung dakwaan pembabitkan lelaki disyaki penunggang p-hailing dalam kegiatan jenayah samun dan ragut.

Katanya, dia dipanggil pegawai D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka dan hasil perbincangan bersama telah mewujudkan kumpulan WhatsApp khas dalam kalangan ahli-ahli yang dipercayai bagi mengesan penjenayah terbabit.
"Sebelum kejadian dia bergegas ke Bachang selepas dimaklumkan berlaku kes ragut di pasar raya KIP Mall.
"Saya memberitahu kepada rakan-rakan yang lain sebelum suspek berjaya dikesan berada di Malim dan kami bersepakat mahu menangkapnya" katanya yang berterima kasih kepada polis atas penghargaan yang pertama kali diterima daripada pihak polis.
Ujarnya, akan terus bekerjasama dengan badan beruniform itu untuk membantu mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan tindakan seorang lelaki dipercayai melakukan jenayah ragut dengan menyamar sebagai penghantar makanan berjaya dicekup dengan bantuan orang awam di Malim di sini, pada petang Rabu.
Dipercayai individu berusia 30-an itu berjaya dikejar oleh sekumpulan penghantar makanan dari sebuah pasar raya di Bachang hingga ke kawasan Malim.
Berdasarkan video tular berdurasi 46 saat itu menunjukkan suspek berbaju hitam ditahan oleh beberapa individu yang juga pekerja penghantar makanan sebelum diserahkan kepada pihak polis yang hadir ke lokasi kejadian.
Menerusi video itu, beberapa individu mendakwa disebabkan kegiatan suspek telah menjejaskan periuk nasi mereka sebagai penghantar makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

