Penghantar makanan: Antara tanggapan, risiko dan penghargaan

Penghantar makanan mungkin dianggap sekadar melaksanakan tugas harian, tetapi hakikatnya mereka memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Penghantar makanan mungkin dianggap sekadar melaksanakan tugas harian, tetapi hakikatnya mereka memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
A
A
A

PENGHANTAR makanan mungkin dianggap sekadar melaksanakan tugas harian, tetapi hakikatnya mereka memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Sesetengah masyarakat umum melihat pekerjaan ini sebagai sesuatu yang ‘rendah’, tanpa memberi perhatian kepada cabaran yang dihadapi oleh penghantar makanan, seperti keselamatan di jalan raya dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Tidak dinafikan juga, bukan semua penghantar makanan merupakan seorang insan biasa, ada di antaranya yang merupakan graduan daripada universiti terkenal, pekerja dalam bidang profesional dan sebagainya.

Ada yang bekerja kerana itu ialah satu-satunya pekerjaan mereka, ada yang mahu mencari rezeki lebih dan ada juga yang bekerja semata-mata mahu mengisi masa lapang atau rasa bosan.

Walaupun begitu, golongan tersebut sering berada di jalanan lebih lama daripada orang lain, memberi peluang untuk menjadi yang pertama membantu dalam kecemasan atau kejadian jenayah.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar (belakang, tengah) bersama enam penghantar makanan yang dianugerahkan sijil penghargaan atas keberanian dan kerjasama mereka membantu polis menangkap peragut, pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka hari ini. Foto Bernama
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar (belakang, tengah) bersama enam penghantar makanan yang dianugerahkan sijil penghargaan atas keberanian dan kerjasama mereka membantu polis menangkap peragut, pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka hari ini. Foto Bernama

Terbaharu, tindakan enam penghantar makanan yang berjaya mencekup peragut aktif di sekitar Melaka menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Melaka, pada Isnin.

Surat penghargaan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkhairi Mukhtar kepada semua penerima pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka bagi Bulan April 2025 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang.

Artikel Berkaitan:

Dalam situasi ini, tindakan enam penghantar makanan tersebut bukan hanya memberi impak positif kepada masyarakat, tetapi juga membuka mata kepada banyak pihak mengenai potensi besar yang ada dalam kalangan pekerja penghantar makanan.

Kebanyakan mereka datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi komitmen terhadap keselamatan dan kesejahteraan orang lain adalah sesuatu yang patut dihargai.

Sementara itu, pihak berkuasa dan syarikat penghantaran makanan juga perlu memberi sokongan serta latihan keselamatan agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran serta terus membantu menjaga ketenteraman awam.

Bagaimanapun, masih ada persepsi negatif terhadap golongan itu, yang mungkin berpunca daripada pandangan umum bahawa pekerjaan ini hanya melibatkan penghantaran makanan semata-mata.

Kerjasama antara pihak berkuasa dan penghantar makanan perlu diperkukuhkan bagi melibatkan mereka lebih aktif dalam inisiatif keselamatan serta kemanusiaan.

Tidak boleh dinafikan di sini, penghantar makanan adalah golongan berani dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

Individu berkenaan harus dihargai bukan hanya sebagai pekerja penghantar makanan, tetapi sebagai seseorang yang sering memberikan bantuan dalam situasi yang memerlukan.

Penghargaan seperti yang diterima oleh penghantar makanan di Melaka perlu dijadikan contoh supaya masyarakat lebih sedar tentang peranan besar mereka dalam menjaga keselamatan bersama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!