Kerajaan negeri tak mampu selamatkan Perak FC - Saarani

Kerajaan Perak mengakui tidak mampu untuk menyelamatkan pasukan Perak FC kerana kos operasi yang terlalu tinggi. Foto Perak FC
Kerajaan Perak mengakui tidak mampu untuk menyelamatkan pasukan Perak FC kerana kos operasi yang terlalu tinggi. Foto Perak FC
A
A
A

KERAJAAN Perak mengakui tidak mampu untuk menyelamatkan pasukan Perak FC kerana kos operasi yang terlalu tinggi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, masalah kewangan membabitkan kelab bola sepak bukan sahaja berlaku di Perak, malah turut melibatkan negeri lain seperti Pahang, Perlis dan Kedah.

"Permainan bola sepak di Malaysia ini terlalu mahal, tidak tertanggung di peringkat kerajaan negeri. Sebab itu kita bersetuju supaya pihak swasta mengambil alih dan menaja kelab bola sepak.

"Kalau di England, harga tiket mahal dan stadium penuh. Di sini, harga tiket rendah, orang datang pun kurang, tetapi gaji pemain profesional tetap tinggi. Kelab dan kerajaan negeri tidak mampu menanggung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Riang Ria Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak Bersama Menteri Besar di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Saarani berkata, beliau memahami keputusan Perak FC untuk membubarkan kelab itu kerana beban kewangan yang tidak mampu ditanggung.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tetap menyokong pembangunan bola sepak akar umbi melalui Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

"Kita akan bantu PAFA secara kecil-kecilan. Mereka akan main peranan mencungkil bakat dari sekolah rendah, sekolah menengah, belia dan kelab-kelab bola sepak.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas, saya bantu PAFA anjurkan dua kejohanan, Piala YAB Menteri Besar dan Liga Perak Sejahtera, dengan kos keseluruhan tak sampai RM1 juta," katanya.

Mengulas isu tunggakan gaji pemain Perak FC, Saarani menegaskan kerajaan negeri tidak dapat membantu kerana ia di luar tanggungjawab mereka.

"Kalau kilang buang 400 pekerja tanpa gaji, kerajaan negeri pun tak mampu bayar. Begitu juga dengan Perak FC, ia tanggungjawab kelab itu sendiri," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan masa depan Perak FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akhirnya terjawab apabila Pengerusi kelab, Datuk Seri Azim Zabidi, mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus tidak akan beraksi pada musim 2025/2026 berikutan kekangan kewangan yang semakin meruncing.

Azim mengakui bahawa keputusan menarik diri terpaksa diambil kerana kelab itu kini berdepan masalah kewangan yang terlalu kritikal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!