Perak FC tiada, rencat kemeriahan Liga Super - Khalid Jamlus

KEPUTUSAN Perak FC menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan akan memberi kesan besar, sekali gus merencatkan suasana dan kemeriahan bola sepak tanah air.
Bekas bintang bola sepak Perak Khalid Jamlus berkata, ini kerana skuad The Bos Gaurus antara pasukan besar yang kaya dengan pengalaman dan pelbagai kejayaan di peringkat liga.
"Siapa yang tak kenal Perak? Pasukan yang sarat dengan pelbagai kejayaan, sama ada di peringkat liga mahupun Piala Malaysia. Perak juga antara pasukan paling lama berada dalam saingan tertinggi liga bola sepak negara.
"Itu belum lagi mengambil kira sokongan padu ribuan penyokong yang sanggup berhabisan semata-mata ingin melihat kejayaan pasukan. Semua ini adalah ‘warna-warni’ yang akan hilang dan tidak mampu ditukar ganti dengan wang ringgit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi dilaporkan mengesahkan skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan kerana berdepan isu kewangan.
Azim dilaporkan berkata, pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan pasukan termasuk membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.
Sementara itu, Khalid yang pernah beraksi bersama Perak sejak 1995 hingga 2009 berkata, beliau berharap ada pihak yang akan menghulurkan bantuan, sekali gus mengambil alih pasukan itu daripada pemilik sedia ada.
"Bukan saya sahaja, malah semua penyokong setia Perak pun tak mahu perkara ini berlaku. Semoga ada mana-mana pihak yang berkemampuan tampil ambil pasukan ini.
"Tak kisah sama ada mereka nak bermula dari liga bawahan atau terus kekal di Liga Super. Cuma pemilik yang ingin mengambil alih pasukan perlu berbelanja mengikut kemampuan,” katanya.
Menyentuh saranan sesetengah pihak yang mahu kerajaan negeri campur tangan dalam isu ini, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
"Terpulang kepada menteri besar. Cuma apabila industri bola sepak ini telah diswastakan, saya fikir tak wajar kita minta bantuan daripada kerajaan negeri. Sebelum ini juga banyak bantuan yang diberikan terutama ketika pemain mengalami masalah gaji,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!