TMJ gembira dalam sedih

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail meluahkan rasa gembira atas kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sekali gus melakar sejarah 'hatrik quadruple' pada Sabtu.
Namun dalam masa sama, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT berasa sedih dengan nasib menimpa Sri Pahang yang berkemungkinan bakal menarik diri dari saingan Liga Super.
Baginda menyifatkan pemilik Sri Pahang FC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebagai mentor dalam dunia bola sepak dan berharap akan kembali memeriahkan arena bola sepak negara suatu hari nanti.
"Bagi saya, ia perasaan bercampur baur dari segi emosi kerana sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini, 30 piala dalam masa 12 tahun. Tetapi ada juga sedih kerana pasukan legenda seperti Pahang tidak akan ada lagi pada tahun depan.
"Saya berharap pada satu hari nanti, Insya-ALLAH, Tengku Abdul Rahman boleh mempertimbangkan.
"Tetapi macam mana pun Tengku Abdul Rahman adalah mentor saya. Saya belajar banyak dari Tengku Abdul Rahman bagaimana untuk mentadbir dan juga mengurus bola sepak.
"Jadi saya sentiasa akan hargai pengorbanan Tengku Abdul Rahman dan sentiasa akan meminta nasihat dan panduan. Apa pun saya ucapkan yang terbaik kepada Tengku Abdul Rahman," kata baginda dalam temubual bersama Astro Arena selepas perlawanan.
Sebelum ini, pasukan Sri Pahang didakwa mengalami masalah kewangan dan berdepan tunggakan gaji pemain yang belum diselesaikan sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi akan beraksi dalam saingan liga musim depan.
Jika benar Sri Pahang akan menarik diri, ia sekali gus menyaksikan saingan liga akan terus kehilangan lebih banyak pasukan selepas beberapa kelab lagi seperti Perak FC menyatakan hasrat untuk berundur daripada kancah liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!