Isu tunggakan gaji KDA FC: Kedah minta rujuk kes Perak

Muhammad Radhi
Muhammad Radhi
A
A
A

ALOR SETAR - Isu berkaitan gaji termasuk tunggakan di bawah tanggungjawab pemilik yang menguruskan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din berkata, perkara itu sudah berkali-kali diperjelaskan sejak pasukan itu diswastakan.

“Isu KDA seperti dimaklumkan sebelum ini, dalam sesi DUN lepas pun saya dah cakap tentang situasi dan kedudukan antara KDA dan kerajaan negeri, namun soalan ini masih dibangkitkan,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.

Dalam persidangan itu, Radhi yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan tampil mengemukakan kenyataan akhbar kerajaan Perak berkaitan isu tunggakan gaji pasukan negeri itu.

“Saya lampirkan di sini kenyataan kerajaan Perak. Pertamanya, pada 1 April 2022, Menteri Besar Perak menjelaskan kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya melunaskan tunggakan gaji Perak FC.

“Terbaru semalam (Isnin), Exco Sukan negeri Perak menyatakan gaji Perak FC bukan di bawah kerajaan negeri. Jadi bukan satu kehairanan untuk pembangkang kerana semua dasar ini difahami sepenuhnya di semua peringkat, tiada perkara pelik,” katanya.

Pada Isnin, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, segala urusan operasi dan pengurusan Perak FC adalah di bawah syarikat telekomunikasi XOX selaku pemilik pasukan dan bukannya kerajaan negeri.

Menurut Radhi, soal pembahagian kedudukan antara KDA dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah lama dijelaskan sejurus pasukan itu diswastakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Loh Wei Chai (PKR-Bakar Arang) sama ada kerajaan negeri mempunyai pelan kecemasan bagi menangani isu menimpa KDA yang memiliki tempoh sehingga 30 April ini untuk menyelesaikan tunggakan RM7 juta agar tidak disingkirkan MFL.

Tambah Radhi, meskipun kerajaan negeri tidak lagi terikat dengan KDA namun pihaknya melalui KFA sentiasa membantu pasukan itu termasuk membayar tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM200,000 sebulan bagi membolehkan KDA terus bersaing dalam Liga Malaysia.

“Jadi tak timbul isu kalau kata kerajaan negeri Kedah tak bantu, kita sentiasa peka dan salur bantuan secara tidak rasmi kepada KDA seperti penyediaan infrastruktur untuk latihan dan kemudahan perlawanan.

“Pengurusan KDA pun tidak jumpa dengan kita untuk terangkan keadaan semasa sebab saya dapat maklumat dalam tempoh terdekat ini ada pihak cuba bantu KDA tapi itu urusan merekalah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!