JKOAK sangkal dakwaan tiada tanah adat di Kelantan

JKOAK menyanggah kenyataan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang menyatakan bahawa tidak adanya tanah adat di negeri ini semasa sesi penggulungan pada sidang DUN Kelantan pada Rabu
JKOAK menyanggah kenyataan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang menyatakan bahawa tidak adanya tanah adat di negeri ini semasa sesi penggulungan pada sidang DUN Kelantan pada Rabu
A
A
A

GUA MUSANG – Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menyanggah kenyataan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, yang menyatakan bahawa tidak ada tanah adat di negeri ini semasa sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu.

Pengerusinya, Mustafa Along berkata, kenyataan itu disifatkan sebagai jahil, tidak bertanggungjawab, mengelirukan serta tidak berlandaskan fakta sebenar selain cuba menutup kebenaran.

"Kenyataan Menteri Besar itu jelas, terang dan nyata bercanggah dengan dapatan mahkamah di Malaysia yang melibatkan kes-kes tanah Orang Asli.

"Kes-kes ini bukan sahaja membabitkan negeri-negeri lain seperti Perak, Pahang, Selangor dan Johor tetapi turut melibatkan Kelantan. Sebagai makluman, di sini terdapat dua kes mahkamah yang melibatkan tanah Orang Asli, iaitu di Pos Belatim (2017) dan Pos Balar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, dapatan daripada kes-kes berkenaan jelas memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah mereka yang juga dikenali sebagai Tanah dan Wilayah Adat.

Ujarnya, masalah itu turut berpunca daripada keengganan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mengakui hak-hak Orang Asli.

"Walaupun Mahkamah Tinggi Malaya telah berulang kali menyatakan bahawa tanah adat wujud di Semenanjung Malaysia, ketiadaan 'political will' di pihak negeri dan Persekutuan menyebabkan isu ini terus berlarutan tanpa penyelesaian.

"Justeru, kami menggesa pihak kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil tindakan sewajarnya untuk mempromosi dan melindungi hak-hak Orang Asli seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mustafa turut menegaskan bahawa pindaan ke atas undang-undang berkaitan hak tanah Orang Asli perlu dilakukan, termasuk memasukkan istilah tanah adat dalam undang-undang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Proses pindaan ini juga harus mengadaptasi prinsip-prinsip Keizinan Berasaskan Makluman, Awal, Bebas dan Telus (IMABT)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!