KPTM Gua Musang akan dibuka semula - Ahmad Zahid

KPTM Gua Musang yang ditutup pada 2019 bakal dibuka semula sekali gus akan menjadi pemacu ekonomi di kawasan berkenaan tidak lama lagi. Gambar kecil: Ahmad Zahid
KPTM Gua Musang yang ditutup pada 2019 bakal dibuka semula sekali gus akan menjadi pemacu ekonomi di kawasan berkenaan tidak lama lagi. Gambar kecil: Ahmad Zahid
A
A
A

GUA MUSANG – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Gua Musang yang ditutup pada 2019 bakal dibuka semula sekali gus akan menjadi pemacu ekonomi di kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penutupan sebelum ini adalah disebabkan kekurangan pelajar berpunca daripada masalah pembiayaan dan kursus yang ditawarkan ketika itu kurang sesuai dengan kehendak pasaran.

Menurut beliau, perbincangan bersama Pengerusi Mara telah diadakan dan kerja awal untuk pembukaan semula KPTM berkenaan akan bermula bulan depan.

"Saya telah mengarah KPTM ini dibuka semula dan kursus-kursus yang ditawarkan itu bersesuaian dengan kebolehpasaran untuk pelajar sekitar Gua Musang dan seluruh Kelantan.

"Antara bidang yang akan ditawarkan termasuk robotik, Internet of Things (IoT), automotif dan beberapa kursus lain yang memenuhi keperluan industri di Kelantan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, pada Isnin.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Zawawi Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Menurut beliau, sebelum tamat kursus, pelajar akan mendapat peluang pekerjaan sebagaimana dilaksanakan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lain.

"Lokasi kolej akan ditentukan dengan nasihat daripada Kesedar dan kita sasarkan pendaftaran pelajar sekitar 500 hingga 600 orang setiap tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!