Jakim nafi dakwaan bekas kakitangan berkait isu media sosial

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan sekerasnya dakwaan yang dibuat oleh seorang individu menerusi hantaran di media sosial yang mengandungi maklumat tidak benar dan mengaitkan dirinya sebagai kakitangan jabatan itu.
Jakim menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu memaklumkan, bahawa individu berkenaan bukan lagi kakitangannya sejak tahun 2018.
Jelasnya, individu tersebut hanya pernah berkhidmat sebagai pegawai kontrak atau ‘contract for service’ (COS) dalam kapasiti sebagai penerbit rancangan dan bukan sebagai pegawai hal ehwal Islam atau pemegang jawatan tetap di jabatan berkenaan.
“Jakim menegaskan bahawa pemilik akaun media sosial bernama Ramzul Ikbal Saiful Aula (رمزول إقبال سيف الأولى) yang menulis melalui satu hantaran di media sosialnya sendiri, bukan lagi merupakan kakitangan kami sejak 2018,” katanya.
Menurut kenyataan itu, segala kenyataan, pandangan atau komen yang dikongsikan oleh individu berkenaan adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi jabatan.
Tambah Jakim, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh bekas pegawai kontrak tersebut selepas tamat perkhidmatannya.
“Jakim menyeru orang ramai untuk sentiasa merujuk kepada sumber rasmi jabatan bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” ujarnya.
Sebelum ini, hantaran yang dimuat naik individu terbabit di media sosial mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna platform berkenaan.
Dalam hantaran tersebut, individu itu mendakwa dirinya sebagai kakitangan Jakim dan mengaitkan jabatan berkenaan dengan beberapa kenyataan bersifat peribadi.
Kenyataan itu tular dan menimbulkan salah faham terhadap peranan dan pendirian rasmi Jakim sebagai institusi agama utama negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!