Afif mengaku terima tekanan, desakan lepas jawatan

Afif menunjukkan kenyataannya pada sidang akhbar di kediamannya di sini petang tadi.
Afif menunjukkan kenyataannya pada sidang akhbar di kediamannya di sini petang tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bekas Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa, Dr Afif Bahardin mengakui terdapat desakan daripada pelbagai pihak supaya beliau dipecat daripada jawatannya dalam kerajaan negeri.

Menurutnya, tekanan turut diterima daripada kepimpinan tertinggi parti di peringkat negeri dan Pusat agar beliau mengosongkan jawatan sejak pergolakan politik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku.

“Saya melihat sejak beberapa hari lalu dan sehingga pagi tadi saya percaya ada desakan daripada parti sama ada di peringkat negeri dan Pusat supaya kedudukan saya dikosongkan sebagai Exco kerajaan negeri.

"Jadi, dalam pertemuan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pagi tadi, saya telah menyatakan kesediaan saya melepaskan jawatan ini dan saya percaya melihat kepada perkembangan politik semasa ketika ini, beliau (Kon Yeow) turut mendapat tekanan untuk membuat keputusan ini," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini petang tadi.

Hadir sama isterinya, Dr Mardhiah Zakaria.

Terdahulu dalam satu sidang media tengah hari tadi, Kon Yeow mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Afif sebagai ahli Exco kerajaan negeri hari ini.

Menurutnya, Afif menyerahkan surat peletakan jawatan kepada beliau sebelum mesyuarat Exco kerajaan negeri pada jam 8.15 pagi tadi.

"Afif hanya meletak jawatan sebagai Exco yang mana beliau masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berikutan Afif masih ahli PKR," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh itu berkata, sehingga kini beliau masih lagi ahli PKR sehingga lembaga disiplin parti membuat sebarang keputusan terhadapnya.

Ditanya sama ada beliau bercadang untuk mengikut jejak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika disingkirkan daripada PKR, Afif memberitahu beliau belum memikirkan perkara itu.

"Saya tidak ada pendirian seperti itu kerana kedudukan saya dalam parti masih dalam pertimbangan Lembaga Disiplin PKR.

"Saya terima tawaran daripada banyak parti namun saya tetap komited terus setia kepada perjuangan dan bukan kepada individu dan ini pendirian saya selama berjuang dalam arena politik ini," katanya.

Dalam pada itu, Afif mengakui beliau berada di Sheraton Hotel pada 23 Februari lalu namun kehadirannya di situ hanya diketahui oleh ketua menteri dan pimpinan parti.

"Saya berada di sana untuk memantau keadaan dan selepas itu, saya melaporkan semula kepada ketua menteri.

"Saya berbuat demikian kerana apa yang berlaku di Sheraton akan memberi kesan kepada Pulau Pinang. Saya sentiasa berada di sekitar peristiwa penting seperti ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pulau Pinang sahkan Afif letak jawatan Exco