Pulau Pinang sahkan Afif letak jawatan Exco

Kon Yeow menunjukkan surat peletakan jawatan Afif yang diterimanya pagi tadi.
Kon Yeow menunjukkan surat peletakan jawatan Afif yang diterimanya pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan Dr Afif Bahardin meletak jawatan sebagai Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani berkuatkuasa hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Afif menyerahkan surat peletakan itu sebelum Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang pada jam 8.15 pagi tadi.

Menurutnya, Afif hanya meletak jawatan sebagai Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani tetapi beliau masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berikutan Afif masih ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pagi ini, Afif mengadakan pertemuan dengan saya sebelum Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang bermula. Kita ada bincang tentang perubahan politik yang berlaku dan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Exco Kesihatan berkuatkuasa 4 Mac 2020 (hari ini).

"Beliau menyatakan penghargaan kepada saya, barisan jentera kerajaan negeri dan rakyat di atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepadanya selama ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Tunku Abdul Razak (KOMTAR) di sini hari ini.

Surat peletakan jawatan Afif.
Surat peletakan jawatan Afif.

Kon Yeow berkata, beliau telah membentangkan surat itu dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang dan ia diterima.

"Saya sudah memberi salinan surat peletakan jawatan itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), penasihat undang-undang negeri dan pegawai kewangan negeri untuk tindakan yang perlu diambil. Kerajaan negeri juga akan maklumkan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan peletakan jawatan ini diterima, maknanya ada kekosongan (jawatan). Oleh itu, saya menghantar surat kepada PKR untuk memaklumkan perkara ini. Saya percaya PKR akan bincang dan ambil tindakan seterusnya untuk menamakan calon baru bagi mengisi kekosongan ini," katanya.

Mengulas khabar angin kononnya peletakan jawatan itu berunsur paksaan, Kon Yeow berkata, isu paksaan tidak timbul kerana Afif masih ahli Pakatan Harapan (PH).

"Seperti sedia maklum, Afif sedang dalam siasatan berhubung kes disiplin dalam parti. Siasatan masih belum selesai dan tiada sebarang keputusan. Saya pun sudah jelaskan bahawa beliau masih ADUN PKR dan ahli PH.

"Jadi tidak timbul isu beliau dipaksa (meletak jawatan) seperti yang diperkatakan," katanya.

Semalam, bekas timbalan ketua pemuda PKR (AMK) itu menegaskan akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum.

Afif merupakan antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pada minggu lalu terlibat dalam gerakan menumbangkan PH.

Dikenali sekarang sebagai Langkah Sheraton, Azmin dan 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu, BN dan PAS menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.