'Saya akan kotakan janji lepas jawatan Muda' - Luqman

Luqman
Luqman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Luqman Long akan mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan dalam kepimpinan parti, namun perkara itu perlu dilakukan secara teratur.

Beliau sebelum ini berikrar untuk melepaskan jawatan sekiranya gagal mendapatkan semula deposit dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pada Sabtu lepas.

"Ada yang tanya, bila nak letak jawatan? Jangan risau. Saya akan kotakan janji cuma harus teratur.

"Mesyuarat Muda akan datang, saya akan usulkan," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya pada Rabu malam.

Mengulas lanjut, Luqman menyatakan bahawa beliau tetap bersama Muda dalam keadaan susah dan senang.

Menurutnya, menjadi ahli biasa dalam Muda sekali pun masih boleh berkhidmat kepada rakyat.

"Saya adalah Muda. Jatuh bangun parti, saya akan ada," ujarnya.

Dalam pada itu, Luqman berkata, dia tetap mahu meneruskan perjuangan membina tapak untuk Muda beroperasi di pantai timur.

Artikel Berkaitan:

"Baru selesai dengan urusan pasca pilihan raya di Terengganu. Kita akan teruskan membina batu asas di pantai timur.

"Ada banyak muka baharu sepanjang kempen akan terus berkhidmat di sini," jelasnya.

Pada 31 Julai lepas, Luqman yang juga calon Muda di DUN Bandar memaklumkan bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan dalam kepimpinan parti jika gagal mendapatkan semula deposit dalam pilihan raya PRN berkenaan.

Luqman berani berikrar secara terbuka untuk melepaskan jawatan kerana serius mahu menggalas cabaran bertanding sebagai calon di Terengganu.

Pada 12 Ogos lepas, percubaan sulung Luqman untuk berada di DUN Bandar gagal pada pertembungan tiga penjuru di DUN tersebut apabila hanya memperoleh 372 undi.

DUN Bandar kekal milik Pas menerusi penyandang, Ahmad Shah Mohamed yang turut menewaskan calon BN, Armi Irzan Mohd dengan majoriti sebanyak 2,364 undi.