Al-Quran: Petunjuk, panduan sepanjang zaman

AL-QURAN merupakan wahyu ALLAH SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS.
Ia merupakan sumber utama ajaran Islam, pedoman hidup dan rujukan tertinggi dalam segala aspek kehidupan.
Al-Quran merupakan anugerah terbesar kepada umat manusia khususnya umat Islam dan ia tidak hanya menjadi panduan rohani tetapi juga intelektual dan sosial. Ia tetap relevan, terpelihara dan menjadi sumber inspirasi hingga akhir zaman.
Selain itu, al-Quran turut memiliki beberapa nama lain dalam konteksnya sendiri seperti al-Kitab (kitab), al-Furqan (pembeza antara benar dan salah), az-Zikr (peringatan) dan at-Tanzil (yang diturunkan).
Tidak dapat ditiru, ditandingi
Al-Quran sebagai kalam ILAHI ini sudah tentu memiliki keistimewaan yang tidak terdapat pada mana-mana naskhah kitab lain yang terdapat di dunia.

Gaya bahasa al-Quran juga tidak dapat ditiru manusia walaupun penyair Arab terhebat pada ketika itu.
Ia menjadi salah satu bukti ia berasal dari Tuhan sekali gus menafikan tuduhan bahawa al-Quran merupakan syair karangan Nabi Muhammad SAW.
Bahkan dalam beberapa ayat al-Quran, ALLAH SWT mencabar manusia terutamanya kaum kafi r yang meragui kebenaran al-Quran untuk mencipta satu surah yang sebandingnya seperti diceritakan dalam ayat ke-23 dan ke-24 surah al-Baqarah.
Istimewanya al-Quran ia sesuai untuk semua zaman dan tempat termasuk memberikan penyelesaian kepada permasalahan kontemporari.
Peranan al-Quran
ALLAH SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan dan petunjuk hidup kepada manusia dan DIA tidak membiarkan manusia terkontang-kanting menguruskan kehidupan di dunia atau membiarkan manusia menjalani kehidupan dengan sebebas-bebasnya tanpa petunjuk syariat.
Maka peranan utama al-Quran kepada manusia ialah memberikan panduan moral, spiritual dan praktikal sebagaimana fi rman ALLAH SWT dalam ayat ke-185 surah al-Baqarah.
Selain itu, al-Quran juga berperanan sebagai sumber hukum, yakni dasar utama syariah Islam bersama sunnah Rasulullah SAW.
Lebih menakjubkan bahawa al-Quran berperanan sebagai penyembuh jiwa dan fizikal.
Bacaan al-Quran memberi ketenangan dan boleh digunakan dalam ruqyah sebagaimana fi rman ALLAH dalam ayat ke-82 surah al-Isra’.

Ini menunjukkan al-Quran termasuk al-Fatihah adalah ruqyah yang sah dan disyariatkan untuk rawatan penyakit.
Selain itu terdapat beberapa peranan lain al-Quran terhadap manusia, antaranya:
Pedoman hidup dan moral
Al-Quran mengajarkan nilainilai moral seperti kejujuran (Surah at-Taubah: 119), kesabaran (Surah al-Baqarah: 153), keadilan (Surah al-Maidah: 8) dan kebaikan (Surah an-Nahl: 90).
Pembentukan karakter
Al-Quran menekankan pentingnya kesucian hati dan jiwa serta mendorong untuk menjauhi perbuatan buruk seperti digambarkan dalam ayat pertama hingga kesembilan surah al-Mukminun.
Sumber ilmu dan pengetahuan
Al-Quran mencakupi pelbagai bidang ilmu seperti sains, astronomi, biologi, geologi dan psikologi. Sebagai contoh fi rman ALLAH SWT dalam ayat ke-30 surah al-Anbiya’. Dalil ini berhubung kait dengan teori Big Bang dalam bidang kosmologi. Begitu juga dengan kronologi penciptaan manusia, proses pembentukan hujan dan lain-lain lagi turut diceritakan dalam al-Quran.
Penyejuk hati, penyelesaian dalam menghadapi kesulitan
Al-Quran menjadi sumber ketenangan dalam kehidupan serta memberikan penyelesaian atas pelbagai permasalahan seperti kesedihan, kecemasan dan tekanan. Kalamullah itu juga memberikan panduan untuk menyelesaikan konflik, memperbaiki hubungan dan menemukan jalan keluar daripada pelbagai masalah dan kesulitan hidup. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk memperbanyakkan membaca al-Quran serta merenungi makna yang terkandung di dalamnya agar dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi pada hari kiamat nanti al-Quran akan memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.
Pendidikan dan dakwah
Al-Quran menjadi pusat pendidikan Islam, mengajarkan cara hidup yang sesuai dengan ajaran Islam dan menjadi dasar dakwah atau penyampaian agama seperti disebut dalam ayat ke-125 surah an-Nahl.

Begitulah sekilas pandang berkaitan al-Quran, keistimewaan dan peranannya sebagai panduan hidup manusia.
Dengan demikian al-Quran bukan hanya sebagai bahan bacaan ritual tetapi merupakan pedoman hidup yang komprehensif, memberikan panduan bagi umat manusia dalam pelbagai aspek kehidupan untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.
Majlis tilawah dan hafazan al-Quran
Bagi menghayati keindahan seni al-Quran dan isi kandungannya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama kerajaan negeri Perlis akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446/2025 yang akan diadakan pada 27 April hingga 2 Mei 2025.
Majlis ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI dan akan berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis. Istimewa penganjuran kali ini, ia dianjurkan bersempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Penganjuran ini juga selaras dengan nilai MADANI yang sentiasa menekankan kesejahteraan umat melalui pengukuhan ilmu, pemerkasaan perpaduan dan kepimpinan yang berwibawa.
Majlis pembukaan akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 malam, 27 April 2025 di Dewan 2020. Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pula akan disempurnakan oleh Raja Perlis pada 9 malam, 2 Mei 2025 di tempat yang sama.
Semoga al-Quran terus menjadi panduan utama dan diamalkan sebagai manual kehidupan harian kita, memandu setiap langkah menuju reda ILAHI.
*Artikel ditulis oleh Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!