Erma Fatima syukur Bidaah buka mata isu ajaran sesat

PENERBIT dan pengarah prolifik tanah air, Erma Fatima meluahkan rasa syukur apabila drama terbitannya, Bidaah berjaya menyentuh hati dan membuka mata banyak pihak terhadap isu yang selama ini seakan tenggelam dalam bayang iaitu ajaran sesat.
Ujar Erma atau nama penuhnya Fatimah Rahmad Ali, meskipun ia lebih mendapat perhatian di Indonesia, namun apa yang penting siri itu telah memberi kesedaran kepada mereka yang selama ini menjadi mangsa.
“Sebenarnya itu (penangkapan penunggang agama) yang kita perjuangkan dalam Bidaah. Kita mahu membuka mata masyarakat mengenai ajaran sesat.
“Alhamdulillah, walaupun yang mengambil tindakan itu adalah Indonesia, ia masih sebuah negara Islam. Apa yang kita perjuangkan bukan hanya untuk Malaysia tetapi untuk ummah.
“Saya dengar ada 10 tempat ajaran sesat telah diserbu oleh pihak berkuasa. Saya bersyukur sebab itu yang diperjuangkan walaupun mendapat kecaman demi kecaman di negara sendiri pada awalnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan drama Bidaah yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra milik Erma telah membuka mata mangsa penunggang agama berikutan penangkapan seorang lelaki yang disifatkan sama dengan karakter 'Walid' dalam siri itu dikenali sebagai AF.
Lelaki berkenaan didakwa telah menodai lebih 20 orang penuntut di sana dengan alasan menyucikan rahim agar mereka dapat melahirkan anak-anak yang menjadi wali.
Kejadian yang berlaku di Lombok Barat, Nusa Tenggara Barat, Indonesia itu didedahkan wakil Gabungan Anti Keganasan Seksual, Joko Jumadi.
Kes itu terbongkar selepas sebilangan mangsa menonton drama Bidaah yang menampilkan watak Walid iaitu ketua mazhab sesat yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan menipu serta melakukan hubungan intim dengan pengikutnya dengan alasan agama.
Dalam pada itu, Erma turut berkongsi bahawa platform penstriman Viu telah menyatakan minat untuk menghasilkan musim kedua Bidaah, manakala beberapa penerbit dari Indonesia pula berminat membeli hak cipta bagi mengangkatnya ke layar perak.
Bagaimanapun, keputusan rasmi masih belum dibuat.
Ditanya perasaannya dalam menelan kecaman yang dilemparkan segelintir pihak sebelum ini, Erma, 57, tidak menafikan kecewa apabila ada pihak yang hanya menonton dan menilai siri tersebut berdasarkan klip yang tular di media sosial.
Namun dalam masa sama, sosok yang cukup dikenali menerusi siri Mok Cun itu tidak menidakkan kesilapan daripada pihaknya.
"Apa yang mampu saya katakan saya tidak dapat puaskan hati semua orang dan hidup ini penuh dengan persepsi.
"Saya agak kecewa apabila orang yang memberi komen tidak menonton pun sebenarnya. Hanya menerusi klip yang tular tetapi tidak melihat sepenuhnya apa yang cuba kita sampaikan.
"Mereka hanya cuba menjadi mata lalat yang mencari najis, yang mencari kesilapan. Meskipun kita akui ada kesilapan, tetapi janganlah pandang karya itu seperti sampah yang dihukum sepenuhnya tanpa ada ruang diberikan pada karya itu dalam kritikan tersebut," jelasnya.
Menutup bicara, Erma turut memaklumkan bahawa beliau bakal melancarkan sebuah filem baharu bulan depan yang masih sarat dengan elemen Islamik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!