Kapal terlibat operasi pencarian ketiga MH370 mungkin sudah 'nampak' petunjuk - Pakar penerbangan

Syarikat kapal robotik, Ocean Infinity sanggup melabur modal serta tenaga bagi meneruskan pencarian pesawat MH370.
Syarikat kapal robotik, Ocean Infinity sanggup melabur modal serta tenaga bagi meneruskan pencarian pesawat MH370.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar penerbangan berpandangan kapal yang terlibat dalam operasi pencarian ketiga MH370 mungkin telah menemui petunjuk baharu berhubung lokasi sebenar pesawat itu.

Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, spekulasi itu timbul susulan corak pergerakan kapal pencarian yang mencurigakan sebelum ia menuju ke pelabuhan untuk persiapan seterusnya.

“Kapal pencarian tersebut sebelum ini dilaporkan bergerak perlahan pada kelajuan satu kilometer sejam sebelum mempercepatkan kelajuan sehingga 20 kilometer sejam menuju ke pelabuhan.

“Tindakan kapal memperlahankan kelajuan secara tiba-tiba sebelum kembali memecut ke pelabuhan menimbulkan tanda tanya. Mereka mungkin ternampak sesuatu yang perlu diteliti sebelum meneruskan perjalanan ke Fremantle," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Genap 11 tahun yang lepas, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Biarpun usaha pencarian yang meluas telah dilakukan, bangkai utama pesawat tersebut belum ditemui.

Gambar rajah menunjukan pesawat EK407 dan MH370 berselisih setelah di tapis dengan data WSPR.
Gambar rajah menunjukan pesawat EK407 dan MH370 berselisih setelah di tapis dengan data WSPR.

Artikel Berkaitan:

Malaysia bagaimanapun tetap komited dalam usaha mencari bukti dan jawapan bagi merungkai tragedi penerbangan paling buruk dalam sejarah negara.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan operasi pencarian MH370 berdasarkan petunjuk berwibawa, sekali gus memberikan jawapan yang amat diperlukan oleh keluarga mangsa.

Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu, kerajaan telah bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity (United Kingdom) untuk memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Nik Ahmad Huzlan berpandangan, peranan kerajaan Malaysia dalam pencarian kali ini masih belum jelas dari segi komitmen, penglibatan serta kontrak rasmi.

“Namun begitu, syarikat Ocean Infinity tetap komited meneruskan usaha pencarian berdasarkan kajian dan teori yang telah disaring oleh pakar meskipun kurang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia.

"Ocean Infinity amat yakin dengan usaha mereka dan sanggup melabur modal serta tenaga bagi meneruskan pencarian ini. Mereka juga masih mengikuti teori yang telah ditapis oleh pakar," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan wujud laporan baharu mengenai pesawat A380 Emirates EK407 yang dikatakan berselisih dengan MH370 pada hari kejadian.

"Pesawat yang dalam perjalanan dari Melbourne ke Dubai itu dikatakan telah melihat kelibat MH370 dan kejadian tersebut telah dilaporkan oleh kapten penerbangannya, Martyn Smith.

"Laporan ini sedang diteliti dan maklumat lanjut mengenainya dijangka akan didedahkan dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!