Trump gesa Putin henti serangan, gencatan senjata segera

Trump tiba di Lapangan Terbang Eksekutif Leesburg pada Khamis bagi menghadiri majlis makan malam kutipan dana anjuran MAGA Inc yang diadakan di Trump National Golf Club. Foto: AFP
Trump tiba di Lapangan Terbang Eksekutif Leesburg pada Khamis bagi menghadiri majlis makan malam kutipan dana anjuran MAGA Inc yang diadakan di Trump National Golf Club. Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menzahirkan rasa tidak senang terhadap serangan udara maut oleh Rusia ke atas ibu negara Ukraine, Kyiv yang meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan puluhan lagi.

Serangan pada awal pagi Khamis itu disifatkan paling dahsyat sejak Julai tahun lalu, mencetuskan kebimbangan baharu terhadap usaha damai antara kedua-dua negara yang masih buntu.

Trump dalam satu kenyataan di laman Truth Social berkata tindakan Vladamir itu tidak mendatangkan kebaikan dan perlu dihentikan segera.

“Kenyataan itu dilihat sebagai kritikan jarang terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin sekali gus menunjukkan tekanan yang sedang diletakkan oleh Washington dalam usaha menamatkan konflik berdarah tersebut.

“Saya sedang memberi tekanan besar kepada kedua-dua pihak untuk menghentikan perang ini. Saya tidak berpihak kepada sesiapa, hanya berpihak kepada usaha menyelamatkan nyawa,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre di Rumah Putih pada Khamis.

Trump bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada sebarang tindakan lanjut akan diambil ke atas Rusia dan sebaliknya berkata beliau akan menunggu seminggu lagi untuk melihat sama ada perjanjian dapat dicapai selain memberi amaran ‘sesuatu akan berlaku’ sekiranya pengeboman tidak dihentikan.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang berada di Afrika Selatan ketika serangan berlaku menyuarakan kekecewaannya terhadap respons Amerika Syarikat, sambil menggesa pendekatan lebih tegas daripada Washington untuk mendesak Rusia menghentikan serangan.

“Kami percaya jika tekanan lebih besar dikenakan terhadap Rusia, pendirian kami akan lebih mudah untuk dirapatkan,” katanya kepada media di sana.

Zelensky turut menegaskan bahawa kesediaan Ukraine untuk berunding dengan Rusia merupakan satu kompromi besar.

Artikel Berkaitan:

“Gencatan senjata mesti menjadi langkah pertama. Jika Rusia benar-benar mahu berhenti, hentikan dahulu serangan besar-besaran ini. Kesabaran kami sudah hampir habis kerana hanya kami yang diserang,” tegasnya.

Susulan insiden itu, Zelensky dilaporkan memendekkan lawatannya dan bergegas pulang ke Ukraine. -BBC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!