Donald Trump, 'Presiden pusingan U'

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

BELUM pun cukup 100 hari penggal kedua pentadbiran, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menyebabkan gegaran bak gempa kepada negara antarabangsa.

Sejak penggal pertama beliau di Rumah Putih pada 2016, Trump sudah mengamalkan ‘dasar pusingan U’ terhadap beberapa keputusan kontroversi yang menerima kritikan banyak pihak.

Situasi sama sudah dapat dijangka pada kali ini, apabila beliau sekali lagi membuat keputusan berubah-ubah setelah memperkenalkan kadar tarif tinggi ke atas rakan dagang AS dan hampir 60 negara.

Trump ternyata tidak tetap pendirian dan gemar membuat keputusan secara melulu. Oleh itu, beliau wajarlah diberi julukan ‘Presiden pusingan U’.

Ketika memenangi Pilihan Raya Presiden pada tahun lalu, Trump dengan yakin memberi jaminan beliau akan berkhidmat dengan lebih baik bersama pasukan baharu.

Tetapi, beliau menjadi agresif dalam membuat beberapa keputusan besar untuk Amerika dan dasar luar yang penting.

Sejak dari penggal pertama, Trump beria-ia memperjuangkan dasar perdagangan ‘Utamakan Amerika’ dan berikrar hendak mengenakan tarif ke atas China atas alasan mahu menangani ketidakseimbangan perdagangan dan kecurian harta intelek serta menuduh Beijing ‘pemanipulasi mata wang’.

Pada 15 Januari 2020, Washington dan Beijing pernah menandatangani perjanjian bersejarah ‘Perdagangan Fasa Satu’ untuk meredakan perang perdagangan antara kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Artikel Berkaitan:

Trump kembali menyasarkan China pada penggal kedua, namun, baru-baru ini beliau membuat pusingan U apabila cuba ‘berlembut’ dengan menyatakan sedia berunding semula untuk memeterai perjanjian baharu.

Antara isu lain yang menyaksikan keputusan flip-flop beliau adalah tentang hak pengguguran kandungan yang menjadi subjek pertikaian undang-undang dan politik di AS sejak sekian lama.

Selain itu, Trump juga mengubah pendiriannya untuk ‘menyelamatkan’ TikTok daripada larangan yang dikuatkuasakan pentadbiran pendahulunya, Joe Biden sedangkan beliau pernah cuba mengharamkan platform itu pada penggal pertama.

Isu lain yang menarik perhatian lain adalah mengenai penglibatan AS dalam konflik Rusia-Ukraine.

Trump juga mungkin cuba bermain permainan minda pelbagai dimensi menerusi retorik yang mengelirukan dan memeningkan banyak pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!