‘Solat hajat tidak pernah tinggal demi Harris Rayyan’

Harris Rayyan masih kelihatan aktif di sekolah walaupun menghidap masalah jantung berlubang sejak lahir.
Harris Rayyan masih kelihatan aktif di sekolah walaupun menghidap masalah jantung berlubang sejak lahir.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menjelang tarikh pembedahan jantung yang dijadualkan pada 10 Mei ini, keluarga Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, tidak pernah berhenti mengadakan solat hajat dengan mereka sentiasa memanjatkan doa agar urusan rawatan itu dipermudahkan.

Bapanya, Mohd Khusaimi Mohamad, 45, berkata, mereka sekeluarga berpegang teguh kepada kekuatan doa sebagai sumber semangat di saat menghadapi detik paling mencabar dalam hidup mereka.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama keluarganya berdepan prosedur pembedahan besar membabitkan anak bongsunya itu, sekali gus merasakan debaran menanti hari penting berkenaan semakin terasa.

“Solat hajat memang tidak tinggal sebab kali pertama dalam keluarga saya ada yang perlu jalani pembedahan seperti ini.

“Tetapi kami tetap kuatkan semangat dan yakin, insya-ALLAH, ALLAH SWT bantu dan permudahkan semuanya. Saya dan keluarga hanya ingin lihat dia membesar dengan sihat, boleh bermain dan belajar macam kanak-kanak lain,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Harris Rayyan mempunyai masalah jantung berlubang atau Ventricular Septal Defect (VSD) sejak bayi lagi yang mana simptom awalnya adalah jaundis atau demam kuning.

Walaupun menghidap penyakit serius, perkembangan terkini Harris Rayyan menunjukkan dia masih mampu hadir ke sekolah setiap hati, bergerak aktif dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keletihan yang membimbangkan.

Mohd Khusaimi berkata, mereka sekeluarga turut bersyukur kerana sehingga kini keadaan Harris Rayyan masih stabil, namun tetap berhati-hati dalam menjaga kesihatannya terutama membabitkan aktiviti fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini Alhamdulillah, Harris Rayyan nampak seperti kanak-kanak sihat seusia dengannya. Dia mampu pergi sekolah dan melakukan aktiviti sama seperti murid lain.

“Kalau lihat dia sekarang, memang tidak nampak macam orang sakit. Cuma saya dan isteri tidak benarkan dia terlibat dengan sukan sahaja di sekolah.

“Kami bimbang kalau dia terlebih aktif nanti memberi kesan kepada masalah kesihatan jantung dia,” katanya.

Tambah Mohd Khusaimi, antara cabaran utama keluarganya kini adalah untuk memastikan Harris Rayyan makan dengan cukup bagi menyokong tumbesarannya.

Jelasnya, ini kerana berat badan Harris Rayyan masih belum melebihi 20 kilogram walaupun telah memasuki Tahun Satu.

“Dia pilih makan, kalau makanan dia suka barulah makan banyak sikit, jika tidak memang sedikit lah dia makan.

“Tapi isteri saya sedaya upaya juga paksa dia makan sekurangnya nasi sekali sehari.

"Kami risau juga dengan tumbesarannya yang tidak sama dengan rakan seusia,” ujarnya.

Setakat 20 April lalu, Tabung Sinar Untuk Si Kecil telah berjaya mengumpul sebanyak RM18,450.92 bagi membantu menampung kos pembedahan Harris Rayyan.

Sebanyak lebih RM25,000 lagi diperlukan bagi membiayai kos keseluruhan pembedahan anak ketiga Mohd Khusaimi itu yang dianggarkan mencecah RM45,000.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf 5642 7652 9068 atau hubungi talian 03-5101 7388 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!