Mi sup, laksa juadah raya kegemaran Harris Rayyan

SHAH ALAM - Walaupun bakal menjalani pembedahan jantung tidak lama lagi, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, tetap teruja menyambut Aidilfitri dengan menikmati juadah kegemarannya seperti mi sup, laksa dan biskut cookies.
Malah kanak-kanak itu yang amat gemar bermain bunga api bersama sepupu-sepupunya dilihat ceria dan tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan hari raya.
Menurut bapanya, Mohd Khusaimi Mohamad, 43, anak bongsunya itu sememangnya sangat menantikan pertemuan dengan saudara-mara di Pasir Mas, Kelantan, meskipun keluarga mereka kini sedang diuji dengan keadaan kesihatan Harris Rayyan.
“Mood dia memang baik, Harris Rayyan sangat seronok nak raya. Paling dia suka bila dapat main bunga api dan makan makanan kegemarannya.
“Kami sambut raya tahun ini dalam keadaan sedikit risau, fikirkan pembedahan yang semakin dekat dan kos yang perlu dikumpul. Tapi kami tetap buat persiapan, walaupun sederhana,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, tradisi ziarah tetap diteruskan kerana anaknya itu amat teruja untuk pulang ke kampung dan tidak mahu terlepas momen bersama sepupu dan saudara-mara.
“Kami cuba jadikan hari raya kali ini sebagai yang paling bermakna untuk Harris Rayyan. Itu harapan saya sebagai bapa, kalau boleh biar dia ingat raya ini sebagai kenangan yang indah,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan anak bongsu dari tiga beradik itu menghidap simptom masalah jantung berlubang sejak bayi lagi.
Harris Rayyan dijadualkan menjalani pembedahan jantung berlubang di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 Mei depan.
Kos pembedahan dianggarkan sebanyak RM45,000, dan sehingga kini mereka masih memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi menampung perbelanjaan itu.
Dalam pada itu Mohd Khusaimi turut meluahkan rasa syukur kerana saudara-mara serta rakan-rakannya yang tampil menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan moral buat keluarganya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 5642 7652 9068 atau menghubungi talian 03-5101 7388 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

