'Ada yang hampir jual tanah kebun'

Sinar Harian dengan kerjasama IJN melancarkan kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil.
Sinar Harian dengan kerjasama IJN melancarkan kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil.
A
A
A

SHAH ALAM - Kos pembedahan jantung yang tinggi memaksa seorang bekas pesakit jantung hampir terpaksa menjual tanah kebunnya kerana terdesak untuk mendapatkan rawatan dan pulih daripada penyakit tersebut.

Kisah tersebut dikongsikan oleh seorang bekas pesakit jantung, Ahmad Nazree Sahbudin, 42, yang menghidap masalah saluran darah tersumbat di bahagian jantungnya.

Ahmad Nazree berkata, ketiadaan insurans menyebabkan dia berada dalam situasi tertekan memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk pembedahan.

Ahmad Nazree ketika menerima rawatan di IJN.
Ahmad Nazree ketika menerima rawatan di IJN.

“Pembedahan jantung, ubat penginapan dan sebagainya lebih kurang RM40,000...waktu itu saya sampaikan terfikir nak jual tanah kebun, asalkan saya dapat sihat seperti sedia kala.

“Kalau ada emas mudah digadai berbanding tanah. Alhamdulillah ketika itu nak dijadikan cerita kerajaan Pahang tolong saya kurangkan bebannya, sampai ke hari ini, Alhamdulillah saya sudah sihat.

“Saya bersyukur Menteri Besar dan kerajaan negeri mengambil berat akan rakyatnya kerana saya salah seorang penerima bantuan pesakit kronik,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, pembedahan pemasangan stent atau jaring logam kecil yang boleh dikembangkan di jantungnya itu, dilakukan pada 18 Februari 2024 lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebelum pembedahan, dia sering mengalami sakit dada, rasa mual dan tidak sedap badan sehingga terpaksa berhenti terlibat aktiviti lasak.

“Jadi, saya berpandangan sebab itulah kita kena tolong orang yang memerlukan, apa lagi jika dia kanak-kanak, mana tahu suatu hari nanti dia membesar dan boleh tolong orang yang memerlukan juga,” ujarnya.

Sementara itu, suri rumah, Nur Anis Nadia Muhamad Razmi, 26, turut menceritakan pengalaman mengenai anaknya, Muhammad Aryan Darwish Danial Fakhri, yang disahkan menghidap penyakit jantung kongenital atau atrioventricular septal defect (AVSD) ketika di usia lima hari.

Nur Anis Nadia dan anaknya, Muhammad Aryan yang disahkan menghidap penyakit jantung kongenital di usia lima hari.
Nur Anis Nadia dan anaknya, Muhammad Aryan yang disahkan menghidap penyakit jantung kongenital di usia lima hari.

Menurut ibu muda berkenaan, ketika mengandung anak pertamanya sepanjang sembilan bulan, tiada masalah atau kompilasi yang berlaku sehingga Muhammad Aryan dilahirkan pada Januari tahun ini dan disahkan oleh doktor menghidap penyakit berkenaan.

“Masa mengandung memang tak ada apa-apa, sehinggalah dia dilahirkan. Hari ketiga baru doktor sahkan mereka ada dengar sesuatu di jantungnya...tetapi waktu itu dia tak ada simptom macam sesak nafas atau muka berubah kebiruan.

“Kemudian mereka terus periksa jantung, hari kelima, pakar pun sudah sahkan dan akhirnya pergi ke IJN, Alhamdulillah juga rezeki untuk pembedahan dia awal, masa itu belum lagi dua bulan.

“Doktor beritahu jantung dia kecil sebelah dan tidak ada dinding pemisah antara jantung kanan...injap pun ada satu...dan pembedahan baru-baru ini doktor cuma ikat saluran jantung ke paru-paru kerana nak kurangkan simptom, sebab dia masih bayi,” katanya.

Nur Anis Nadia yang menetap di Kuala Lipis, Pahang, memberitahu, disebabkan usia Muhammad Aryan yang masih muda itu, dia akan menjalani dua lagi pembedahan apabila menjangkau usia satu dan lima tahun.

Seorang lagi bekas pesakit jantung dari semenanjung Utara, Auni Zafirah Mansor, 24, berkata, dia pernah menghidap stenesis aorta atau injap jantung tersumbat ketika berumur enam tahun.

Ulasnya, penyakit itu dikesan selepas dia dijangkiti demam campak dan mengalami pembengkakan pada tangan sebelum dirujuk ke pakar jantung.

“Jadi bermula daripada situ, saya disahkan ada sesuatu tidak kena dengan jantung...rupanya injap jantung tersumbat,” kata Auni Zafirah.

Sinar Harian dengan kerjasama IJN melancarkan kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil yang bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, bagi memastikan kempen ini mencapai sasaran jumlah dana diperlukan mengikut kos pembedahan dan ia akan dijalankan selama hampir dua bulan bagi setiap pesakit bergantung kepada tempoh hari berbaki sebelum tarikh pembedahan.

Tabung pertama dibuka bermula 26 Mac hingga 4 Mei ini melibatkan pesakit berusia tujuh tahun, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.

Dalam pada itu, bagi sesiapa yang ingin memberikan sumbangan, ia boleh disalurkan melalui akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 564276529068 dan hubungi talian 03-51017388 sekiranya ada sebarang pertanyaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!