Harris berisiko sakit lemah jantung

SHAH ALAM - Pesakit kanak-kanak, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, yang mempunyai masalah jantung berlubang atau Ventricular Septal Defect (VSD) berdepan risiko sakit lemah jantung sekiranya terus dibiarkan dan tidak mendapat rawatan segera.
Timbalan Ketua Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Institut Jantung Negara (IJN), Dr Khairul Anuar Abdul Aziz berkata, risiko itu disebabkan peningkatan pengaliran darah ke paru-paru menerusi lubang VSD dan lama-kelamaan ia akan menyebabkan tekanan darah yang tinggi ke paru-paru.
Selain itu katanya, daun injap aortic valve Muhamad Harris Rayyan juga sudah mulai menutupi lubang VSD dan didapati mula menyebabkan kebocoran.
“Kebocoran injap ini boleh bertambah teruk sekiranya lubang VSD tidak ditutup. Harris juga berisiko menghadapi jangkitan kuman dalam jantung (infective endocarditis) disebabkan mempunyai jantung berlubang.
“Pembedahan diperlukan untuk menutupi lubang VSD. Pembedahan mengambil masa sekitar tiga jam dan kebanyakan kanak-kanak akan pulang ke rumah sekitar lima hari selepas pembedahan. Ini merupakan pembedahan pertama dan terakhir untuk hampir semua kanak-kanak yang mempunyai VSD,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhamad Harris Rayyan akan menjalani pembedahan Ventricular Septal Defect Closure and Resection of Infundibular Stenosis pada 10 Mei ini dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.
Jelas Dr Khairul Anuar, sebahagian kanak-kanak yang mempunyai jantung berlubang boleh tertutup sendiri secara semula jadi terutama bersaiz lebih kecil dari 5mm ataupun yang lokasinya dikelilingi otot jantung yang tebal atau muscular VSD.
Bagaimanapun katanya, sekiranya lubang tersebut tidak tertutup sendiri atau kanak-kanak tersebut mempunyai komplikasi lain seperti masalah lemah jantung, tidak bertambah berat badan, masalah injap bocor dan sebagainya, pembedahan menutup VSD diperlukan lebih awal.
“Setiap kanak-kanak yang dirujuk ke IJN dengan diagnosis VSD akan diperiksa dengan teliti. Ujian-ujian tertentu termasuk ujian darah, X-ray dada dan echocardiography juga akan dibuat sebagai persediaan untuk pembedahan.
“Cabaran utama ialah kanak-kanak yang dikenal pasti mempunyai VSD lewat selepas menghidap pelbagai komplikasi. Ini bermakna pembedahan terpaksa dilakukan dengan risiko yang jauh lebih tinggi,” jelasnya.
Sinar Harian dengan kerjasama IJN telah melancarkan kempen ‘Sinar Untuk Jantung Si Kecil’ bertujuan bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.
Tabung pertama dibuka bermula 26 Mac hingga 4 Mei ini bagi membantu Muhamad Harris Rayyan dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.
Kutipan sumbangan itu hanya dibuka selama 41 hari kerana pembedahan telah dijadualkan pada 10 Mei ini.
Sumbangan kepada Muhamad Harris Rayyan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 564276529068 dan orang ramai boleh menghubungi talian 03-51017388 untuk sebarang pertanyaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!