Harris Rayyan perlukan RM45,000

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak yang menghidap masalah jantung berlubang, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, memerlukan dana sebanyak RM45,000 bagi menampung kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 Mei depan.
Bapanya, Mohd Khusaimi Mohamad, 43, berkata, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu mengalami komplikasi jantung sejak bayi yang mana simptom awalnya adalah jaundis atau demam kuning.
Menurutnya, selepas melakukan pemeriksaan susulan doktor pakar mengesahkan anaknya itu menghidap masalah jantung berlubang.

“Pada 2018 setelah Harris Rayyan dilahirkan, dia ditahan di wad kerana jaundis kemudian doktor syak terdapat bunyi aneh pada ritma jantung. Sejujurnya, luluh hati kami apabila dapat tahu jantung anak berlubang.
“Sejak itu, saya dan isteri kerap berulang alik ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bawa anak kami buat pemeriksaan susulan tetapi baru-baru ini kami diberitahu hospital tersebut kekurangan tenaga pakar, jadi kes ini dibawa ke IJN.
“Akhirnya kami dapat satu tarikh pembedahan iaitu pada 8 Mei. Cuma yang menjadi masalah adalah kos ini melebihi kemampuan kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Khusaimi yang bekerja sebagai pemandu peribadi memaklumkan keluarganya belum pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak termasuk pusat zakat negeri sebaliknya hanya menggunakan wang simpanan peribadi untuk merawat anaknya itu.
Bagaimanapun katanya, IJN telah menetapkan kos sebanyak RM45,000 dan keluarganya pula hanya mempunyai masa kurang dua bulan untuk menyediakan amaun tersebut.
“Lama kami tunggu di Hospital Serdang tetapi tiba-tiba IJN tawar tarikh 8 Mei untuk jalani pembedahan. Kemudian, kami dimaklumkan Sinar Harian dengan kerjasama IJN melaksanakan kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil.
“Saya harap ada insan berhati mulia yang sudi membantu dan menyumbang dana seikhlasnya supaya anak kami kembali aktif serta dapat bermain seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.
Isterinya, Suhaili Binti Mamat, 42, berkata, Harris Rayyan tidak mampu melakukan kegiatan seperti anak orang lain.
“Saya kerap memantau pergerakannya kerana Harris Rayyan sering mengadu letih serta cepat penat terutamanya ketika pulang dari sekolah,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 564276529068 dan hubungi talian 03-51017388 sekiranya ada sebarang pertanyaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!