Rasuah C4i: Seorang lagi pegawai polis ditahan SPRM

Seorang lagi pegawai polis berpangkat Superintenden ditahan SPRM untuk siasatan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan 4i bernilai kira-kira RM15 juta. Gambar hiasan
Seorang lagi pegawai polis berpangkat Superintenden ditahan SPRM untuk siasatan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan 4i bernilai kira-kira RM15 juta. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi pegawai polis berpangkat Superintenden ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai kira-kira RM15 juta.

Menurut sumber, pegawai lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan kerana telah menerima bayaran wang rasuah daripada kontraktor dan sub-kontraktor bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan Sistem C4i.

"Tindakan penggeledahan telah dibuat di pejabat dan rumah pegawai berusia 54 tahun itu di Semenyih, Selangor untuk mengesan apa-apa dokumen yang melibatkan penerimaan wang rasuah daripada pihak kontraktor," katanya.

Tambah sumber, permohonan reman pegawai itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu untuk siasatan lanjut.

Katanya lagi, jumlah pembekuan akaun kes berkenaan setakat ini ialah RM7.6 juta selain sebanyak 15 rakaman percakapan saksi dan orang kena tahan (OKT) telah diambil.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penahanan itu.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis antara enam individu ditahan kerana disyaki terbabit tuntutan palsu bagi perolehan berkenaan.

Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Keenam-enam individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ini kemudian direman tujuh hari sehingga 30 April.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta yang mana sebahagian daripada kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!