Pendengaran rayuan kes rasuah bekas KSU, anak ditangguhkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anaknya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi pertuduhan rasuah yang dijadualkan hari ini ditangguhkan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kedua-dua peguam Datuk Rajpal Singh untuk menangguhkan pendengaran itu selepas beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak sihat dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

Beliau berkata, surat telah dikemukakan kepada mahkamah semalam yang memaklumkan Mohd Arif, yang mengalami sakit dada pada Sabtu, menghidap penyakit arteri koronari dan mendapatkan rawatan di hospital manakala anaknya Ahmad Zukhari disahkan positif Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar tidak membantah permohonan penangguhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

Pada 14 November 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Arif, 66, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan anak sulungnya Ahmad Zukhari menerima rasuah SG$200,000 ((RM627,833) ketika beliau masih memegang jawatan KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn Bhd Mohd Safian Mohd Salleh.

Beliau didakwa menerima wang itu sebagai suapan bagi kelulusan kementerian bernilai RM57,500,000 melalui rundingan terus (Reka dan Bina) sistem solar hidbrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz) di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Kuala Lumpur dari 4 petang hingga 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta atau tiga tahun penjara ke atas Mohd Arif.

Ahmad Zukhari, 41, ahli perniagaan, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta atau 10 tahun penjara selepas Mahkamah Sesyen mendapati dia bersalah atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada beberapa projek melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2016.

Rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Mac 2021 menyebabkan mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. - Bernama