'Rompakan terbuka' tidak boleh dimaafkan

PENCEROBOHAN 14,494.9 hektar tanah kerajaan dan 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) kononnya atas nama pertanian sebenarnya 'rompakan terbuka' terhadap harta negeri sebagaimana titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Isu yang telah berlarutan sejak 40 tahun lalu itu bagaimanapun telah ditangani dengan pendekatan lebih tegas dan menyeluruh oleh kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak 2019.
Mekanisme penguatkuasaan diperkukuhkan melalui penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 berperanan untuk menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan berdasarkan kepada akta-akta di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pada masa sama, Pahang telah menggerakkan pendekatan 'tiada kompromi' terhadap pihak yang menceroboh tanah milik kerajaan.
Bagi penulis, kesungguhan Pahang dalam menoktahkan isu itu jelas terbukti di mana sejak Wan Rosdy menerajui negeri ini bermula 2018 hingga kini, sebanyak 1,362 hektar tanah haram telah berjaya dikuatkuasakan melalui 23 operasi di lapan daerah termasuk di Raub.
Usaha kerajaan negeri tidak bersendirian dalam perkara itu sebaliknya mendapat sokongan padu Istana Pahang dan rakyat pelbagai peringkat.
Al-Sultan Abdullah sendiri telah menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri bersama UPNP membanteras pencerobohan haram di negeri ini dengan mengambil tindakan tegas di lapangan, membuat tangkapan, memotong tanaman haram serta menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa kebenaran.
Malah baginda menegaskan tiada kelulusan baharu akan diberikan terhadap mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
Rakyat juga bersuara membantah bila mana ada pihak menawarkan diri sebagai pengantara bagi menyelesaikan kemelut kebun durian yang diusahakan secara haram di Pahang, khususnya di Raub dan Bentong kerana cadangan itu dilihat bercanggah dan tidak selari dengan titah Sultan Pahang.
Sebagai rakyat yang 'mencari makan' di negeri Tok Gajah ini, penulis bersetuju dengan ketegasan kerajaan membawa kes-kes berkaitan pencerobohan tanah ini perlu terus diheret ke mahkamah untuk pendakwaan.
Kompaun tidak menggerunkan 'penceroboh' berbanding hasil haram yang mereka raih selama ini.
Bayangkan pula kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri dalam bentuk hasil dan kemusnahan alam sekitar akibat aktiviti itu.
Pada 2020, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang ketika itu, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mendedahkan kerajaan negeri mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram melibatkan kawasan seluas 4,400 hektar di Raub.
Jumlah kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun. Kalau 14,494.9 hektar? Tidak terkira betapa besar hasil yang sepatutnya mengalir untuk kesejahteraan rakyat dikaut rakus penceroboh tidak bertanggungjawab ini.
Tindakan penguatkuasaan tegas yang berterusan mencerminkan usaha kerajaan negeri untuk tidak lagi tunduk kepada mana-mana tekanan atau sentimen simpati terhadap penceroboh.
Pada masa sama pentadbir tanah mesti berintegriti, amanah dan jangan sesekali menjadi boneka yang mudah diperalatkan.
Penguatkuasaan tegas berlandaskan undang-undang menjadi benteng dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan tanah negeri.
Langkah itu perlu diteruskan secara konsisten agar tiada ruang untuk penceroboh kembali menjarah tanah atas apa tujuan sekali pun.
Kesedaran awam juga perlu ditingkatkan kerana kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara( Akta 828) itu, dendanya tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
*Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!