Isu kebun durian haram: Cadangan DAP Pahang jadi pengantara bercanggah titah Tuanku
KUANTAN – Cadangan DAP Pahang untuk menjadi pengantara dalam isu kebun durian haram di negeri ini disifatkan bercanggah dengan titah tegas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bekas Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad menegaskan bahawa dalam titah baginda, Sultan Pahang secara jelas menolak sebarang kelulusan baharu terhadap tanah yang telah diceroboh secara haram.
Menurutnya, prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa kompromi termasuk parti politik.
"Tidak perlu mana-mana pihak termasuk pemimpin politik menjadi 'orang tengah'. Isu ini wajar diselesaikan mengikut undang-undang seperti yang dilakukan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah selari dengan titah diraja dan harus disokong.
"Isu ini sudah lama berlarutan. Sudah tiba masa ia dinoktahkan. Pencerobohan tanah ini perlu dihentikan sepenuhnya,” katanya.
Tambah Ishak, titah Tuanku dalam dewan undangan menyifatkan pencerobohan kebun durian haram sebagai 'perompakan terbuka terhadap harta negeri' dan semua pihak wajar menghormatinya.
Sebelum ini, DAP Pahang dalam satu kenyataan menyatakan hasrat untuk menjadi pengantara antara pekebun durian haram dengan kerajaan negeri khususnya di Raub dan Bentong.
Parti itu turut menyatakan komitmen untuk menjunjung titah Tuanku sambil membuka ruang rundingan demi penyelesaian secara harmoni dan tersusun demi kepentingan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

