Noktahkan segera isu pencerobohan tanah

Operasi pembersihan kawasan yang diceroboh pekebun durian di Sungai Klau, Raub dijangka dilaksanakan sehingga 2 Mei ini.
Operasi pembersihan kawasan yang diceroboh pekebun durian di Sungai Klau, Raub dijangka dilaksanakan sehingga 2 Mei ini.
A
A
A

PENDEDAHAN dibuat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa tanah kerajaan seluas 14,494.9 hektar telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian serta pelbagai hasil bumi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh atas nama pertanian, namun hakikatnya merupakan satu bentuk perompakan terbuka terhadap harta negeri.

Baginda menjelaskan, masalah pencerobohan tanah kerajaan di Pahang bukan perkara baharu atau berlaku semalam, malah sudah berakar umbi dan berlarutan sejak lebih empat dekad lalu serta semakin membarah setiap hari.

Lebih membimbangkan, keadaan itu menjadi semakin buruk apabila wujud ahli politik yang berlagak ‘hero’ membela penceroboh tanah kerajaan atas alasan kononnya mahu mempertahankan nasib rakyat yang teraniaya dan dizalimi oleh pihak berkuasa.

Sedangkan mereka sedar bahawa kegiatan pencerobohan tanah kerajaan bagi apa-apa tujuan termasuk penanaman durian musang king atau perlombongan bijih seperti emas adalah satu kesalahan besar dan tidak boleh dimaafkan.

Namun, demi laba politik dan menjaga kepentingan kaum tertentu, mereka sanggup menuduh parti yang menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya sebagai tidak sensitif dan bersifat perkauman.

Berikutan itu, tindakan tegas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) menebang ribuan pokok durian yang ditanam secara haram di kebun di Sungai Ruan, Raub, sejak lebih seminggu lalu, wajar dipuji.

Wan Rosdy juga menegaskan, mereka yang menceroboh tanah kerajaan akan dihadapkan ke mahkamah, bukan sekadar dikenakan kompaun seperti yang berlaku sebelum ini.

Terbaharu, beberapa minggu lalu, dua individu telah didenda RM100,000 kerana menceroboh tanah milik kerajaan negeri secara haram, sekali gus menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Wan Rosdy menangani isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah, Wan Rosdy turut mendedahkan, beliau sendiri berjaya membongkar kegiatan pencerobohan tanah seluas 404.6 hektar di Hutan Simpan Sungai Perdak, Bentong untuk projek penanaman durian secara haram semasa membuat tinjauan udara di kawasan terbabit pada tahun lalu.

Namun, rakyat marhaen mengharapkan ketegasan pihak berkuasa dalam mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah kerajaan ini bukan bersifat bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar membuka kertas siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat dan kedudukan sekiranya wujud elemen 'habuan bawah meja'.

Selain itu, tidak salah jika kerajaan negeri membentangkan satu laporan khas atau kertas putih di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendedahkan kepada rakyat keluasan sebenar tanah kerajaan termasuk HSK yang telah diceroboh oleh penyangak alam sekitar, dan apakah solusi jangka panjangnya.

Sudah cukup empat dekad kita hanya menjadi penonton. Kini tiba masanya untuk kita bangkit sebagai penjaga dan menoktahkan isu pencerobohan tanah kerajaan serta hutan simpan ini.

Kerana jika kita terus berdiam diri, akhirnya yang hilang bukan sekadar hutan dan hasilnya tetapi maruah dan amanah.

"Jangan sampai suatu hari nanti anak cucu kita bertanya:

"Masa tanah kita kena rompak, apa ayah buat?”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!