Dusun durian bernilai RM223.6 juta disita

Muhammed Hasbullah (kiri) menunjukkan antara kenderaan yang disita membabitkan kes penipuan skim pelaburan ponzi atau MBI.
Muhammed Hasbullah (kiri) menunjukkan antara kenderaan yang disita membabitkan kes penipuan skim pelaburan ponzi atau MBI.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dusun durian berkeluasan 363 hektar dianggar bernilai RM223.6 juta antara aset terbaharu disita membabitkan kes penipuan skim pelaburan ponzi atau MBI.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, seramai lima lelaki tempatan termasuk dua masing-masing bergelar Tan Sri serta Datuk Seri ditangkap pada Op Northern Star terbabit.

Beliau berkata, kelima-lima suspek telah direman lima hingga enam hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Tindakan pembekuan dan sitaan ke atas harta serta aset iaitu tiga dusun durian dianggarkan bernilai RM223.6 juta.

"Dusun ini terletak di Raub, Pahang berkeluasan 343 hektar; Jawi, Pulau Pinang (5.3 hektar) dan Tasek, Kedah (13.8 hektar).

"Turut disita ialah 299 akaun bank berjumlah RM123,614,594.35, 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, wang tunai, lima unit telefon bimbit, satu komputer serta pelbagai dokumen penting," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Selasa.

Antara barangan mewah dan kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah yang disita polis untuk siasatan kes penipuan pelaburan MBI.
Antara barangan mewah dan kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah yang disita polis untuk siasatan kes penipuan pelaburan MBI.

Beliau berkata, tiga perniagaan turut disita termasuk sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel serta syarikat pemaju di Pulau Pinang.

"Siasatan mendapati dusun durian itu mempunyai geran yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Individu bergelar Tan Sri dan Datuk Seri itu disyaki berperanan sebagai proksi atau rakan kongsi dalam aktiviti pelaburan terbabit," ujarnya.

Menurut Muhammed Hasbullah, penipuan pelaburan yang aktif sejak lapan tahun ini melibatkan 11 juta mangsa dari negara jiran selain turut terdapat enam laporan daripada mangsa warga tempatan.

"Kita akan memfokuskan penipuan pelaburan MBI ini sebelum mengenal pasti sekiranya ada penglibatkan kes penipuan lain.

"Penipuan MBI ini dipercayai menggunakan kaedah 'menebus' barangan yang ditawarkan di bawah perniagaan mereka contohnya tukar tayar kenderaan serta barang elektrik bagi menampakkan perniagaan ini seolah-olah relevan," katanya.

Tegasnya, pihaknya sedang memperkemaskan siasatan untuk pelaksanaan tangkapan baharu selain mengenal pasti aset-aset suspek di dalam negara.

Menerusi Op Northern Star siri pertama pada 21 Mac hingga 5 April telah menahan lapan individu membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita termasuk tiga bergelar Datuk di sekitar Lembah Klang serta utara tanah air.

Hasil serbuan melibatkan dua siri itu polis telah membekukan dan menyita aset bernilai RM3.5 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!