Aktivis alam sekitar kongsi pengalaman disapa Sultan Pahang

TEMERLOH - Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad, 62, berkongsi pengalamannya dalam pertemuan singkat bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Kembara Pahang 1.0 di sini pada Selasa.
Bekas Ketua Pengarang Berita TV3 itu mengakui terharu kerana baginda menyapa dirinya ketika singgah sebentar di Kampung Durian Tikus di sini yang juga tempat kelahiran dan bermastautin beliau.
"Alhamdulillah selepas kira-kira 20 tahun tidak bersemuka, Tuanku Al-Sultan Abdullah, masih kenal dan ingat kepada saya.
"Walaupun sempat berbual cuma seketika, pertemuan ini sangat bermakna kepada saya kerana pada pertemuan terakhir sebelum ini, baginda masih bergelar Tengku Mahkota dan saya bergelar Wartawan Muda ketika itu (berusia 40-an)," katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Jelasnya, baginda juga sempat menegur kerana keaktifan beliau menulis khususnya di media sosial.
"Kami hampir sebaya dan kini pada usia 60-an, baginda sudah menaiki takhta Sultan Pahang dan saya pula sudah menjadi Wartawan Tua.
“Titah ucapan Tuanku di sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) baru-baru ini adalah yang terbaik. Patik berdiri teguh di belakang Tuanku," katanya lagi.
Khaidir juga memberitahu, sebelum berangkat pulang, baginda meminta nombor telefon dirinya dan beliau juga sempat menyembahkan senaskhah buku novel tulisan saya “KHULUK” sebagai tanda menjunjung kasih.
"Semoga pertemuan ini akan membuka lembaran baharu kepada hasrat saya untuk menyumbangkan khidmat bakti serta berkongsi maklumat dan pengalaman kepada Duli Tuanku, demi kecintaan dan kesetiaan saya kepada tanah air tempat tumpah darah saya, ibu bapa dan nenek moyang, Pahang Darul Makmur.
"Saya juga sedia berkongsi banyak lagi maklumat dan bekerjasama bagi melaksanakan titah Tuanku supaya pencerobohan haram di Pahang dinokhtahkan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

