Sultan Pahang zahir penghargaan usaha kerajaan negeri banteras pencerobohan haram

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam membanteras kegiatan pencerobohan haram di negeri ini.
Baginda bertitah, tindakan tegas yang dilaksanakan di lapangan termasuk melakukan tangkapan, memotong tanaman haram serta menutup lombong yang beroperasi tanpa kebenaran.
"Seiring keputusan kerajaan negeri, saya menegaskan tiada kelulusan baharu akan diberikan terhadap mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
“Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, dalam titahnya, baginda turut berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan Exco dan seluruh jentera kerajaan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi hingga berjaya membawa Pahang cemerlang dan berdaya saing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

