Cikgu mengadu tiada dewan sekolah kepada Sultan Pahang

KUANTAN - Ketiadaan dewan menyebabkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) di Chenor nekad untuk membuat aduan tersebut terhadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Kembara Pahang 1.0.
Dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, Kesultanan Pahang pada Khamis memaparkan ayat 'Daulat Tuanku, SK Bukit Bota nak dewan. Kami tiada dewan' pada sebuah kad kotak.
“Guru-guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Bota tidak melepaskan peluang menyampaikan aduan kepada Sultan Pahang berkenaan ketiadaan dewan di sekolah mereka yang turut menjadi satu keperluan penting.
“Paduka Baginda berharap pihak berkaitan iaitu Kementerian Pendidikan dapat mengusahakan permohonan tersebut,” tulisnya.
Kembara yang bermula sejak Isnin dan berakhir pada Rabu menyaksikan empat daerah iaitu bermula di Maran, Temerloh, Bera dan berakhir di Pekan dengan jarak sejauh 428 kilometer.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat bercemar duli menyertai program kembara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!