Perkukuh rawatan penjagaan kecemasan

Perbincangan GP yang menekankan kepentingan kerjasama dan usaha kolaboratif untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit.
Perbincangan GP yang menekankan kepentingan kerjasama dan usaha kolaboratif untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka dengan rangkaian 18 hospital di seluruh negara, IHH Healthcare Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (A&E) dan Pengamal Perubatan Am (GP) bagi memperkukuh peranansebagai rakan barisan hadapan dalam penjagaan kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-François Naa berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyediakan rawatan yang cepat dan berkualiti tinggi menerusi pasukan kecemasan hospital dalam rangkaiannya.

Rangkaian tersebut termasuk Hospital Gleneagles, Hospital Island, Hospital Pantai, Prince Court Medical Centre dan Timberland Medical Centre.

“Penjagaan primer adalah asas kepada sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan GP sering menjadi titik sentuhan pertama bagi pesakit.

“Melalui kerjasama ini, kami memperkukuh peranan penting tersebut dalam memastikan GP mempunyai akses langsung, laluan rujukan yang lancar dan sokongan klinikal tepat pada masanya apabila pesakit memerlukan rawatan hospital.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan rawatan menyeluruh untuk setiap pesakit selain memberi kesinambungan yang lancar dari klinik ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, menurut Jean, bagi merealisasikan kerjasama tersebut, IHH Healthcare Malaysia telah melaksanakan beberapa langkah utama untuk meningkatkan keselamatan pesakit, memperkemas rujukan A&E dan mengoptimumkan kesinambungan penjagaan.

Dengan mengemaskini maklumat klinikal terkini kepada GP, pesakit akan dirujuk ke jabatan A&E di hospital-hospital IHH Healthcare Malaysia, bagi memastikan kesinambungan rawatan selain pengurusan susulan yang berinformasi.

Dalam pada itu, akses secara terus kepada GP dan pasukan A&E melalui talian telefon khas secara langsung untuk rujukan segera membolehkan keputusan dibuat dengan pantas serta intervensi awal dapat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, saluran komunikasi yang tersusun antara GP dan jabatan A&E akan memastikan penyerahan klinikal pesakit yang lebih lancar, kemas kini masa serta penyampaian rawatan diselaraskan.

“Sesi yang dikendalikan oleh pakar akan melengkapkan GP dengan kemahiran klinikal terkini dalam penjagaan kecemasan, termasuk kecemasan di Jabatan Otorinolaringologi (ENT), mengenal pasti bahagian tulang patah, teknik jahitan dan interpretasi ujian elektrokardiogram (ECG).

“Untuk meningkatkan kesiapsiagaan kecemasan sebelum tiba di hospital, GP dan pasukan mereka akan menerima latihan dalam bantuan pernafasan kecemasan (CPR), penggunaan peralatan defibrilator luaran automatik (AED) serta tindak balas kecemasan asas,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan dan Ketua Perkhidmatan Kecemasan di IHH Healthcare Malaysia, Dr Jeewadas Baladas berkata, pelaksanaan kerjasama tersebut di seluruh negara mentakrif semula penyampaian penjagaan kecemasan di Malaysia.

“Daripada penjagaan pra hospital hingga kemasukan ke A&E dan seterusnya, setiap langkah dalam perjalanan pesakit adalah penting.

“Kesemua 18 jabatan A&E kami mengikut sistem triage dan laluan klinikal yang standard, memastikan rawatan kecemasan yang konsisten dan berkualiti tinggi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!