Banjir Kampung Melayu Subang: Lelaki OKU, bayi antara tiga individu ditempatkan di PPS

SHAH ALAM – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dan bayi antara tiga mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas beberapa kawasan di Kampung Melayu Subang di sini dilanda banjir pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.18 petang.
"Seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh tujuh kilometer," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ashrul Riezal berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati antara kawasan terjejas ialah Lorong Merbau membabitkan kira-kira 30 rumah, Jalan Cengal (tujuh rumah), Jalan Resak (lima rumah) dan Jalan Jati (50 rumah).
"Terdapat mangsa tidak mahu meninggalkan kediaman walaupun telah diarahkan berpindah oleh pihak bomba.
"Seorang lelaki OKU berusia lingkungan 50-an dan seorang bayi ditempatkan di PPS di Dewan Siantan. Maklumat seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti," katanya
Ashrul Riezal berkata, keadaan paras air di lokasi dilaporkan semakin surut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
