MOSTI wujud 10 lagi Ruang Daya Cipta seluruh negara

KOTA BHARU - Sebanyak 10 lagi Ruang Daya Cipta (RDC) akan diwujudkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di seluruh negara pada tahun ini sekali gus membantu masyarakat celik teknologi STIE berasaskan robotik, kepintaran buatan (AI) dan sebagainya.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata, kawasan yang terlibat ialah Putrajaya, Sarawak serta Pahang dan setakat ini 21 RDC telah diwujudkan sejak 2021 di seluruh negara kecuali Perlis.
Menurut beliau, usaha itu bertujuan memastikan rakyat tanpa mengira usia tidak ketinggalan dalam mengharungi arus kemodenan dunia hari ini.
"Selain itu pendedahan berkaitan dunia keusahawan turut diberikan bagi memastikan manfaat teknologi tersebut dapat membantu menjana ekonomi masyarakat," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian RDC Kota Bharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini pada Khamis.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat.
Menurut beliau, sejak ditubuhkan lebih 13,000 pengguna sudah menerima manfaat yang telah disediakan oleh MOSTI.

Ujarnya, RDC meliputi peralatan berteknologi tinggi seperti pencetak 3D, robotik, dron dan studio digital.
Sharmila memberitahu, ia turut dilengkapi dengan makmal pembelajaran seperti Makmal Robotik dan Realiti Maya untuk meningkatkan penguasaan teknologi semasa dalam kalangan komuniti.
"Individu atau kumpulan yang kurang pandai dalam penggunaan teknologi akan diberikan latihan sebaik mungkin bagi memastikan kepakaran yang dikongsi mampu memberi manfaat kepada mereka.
"RDC membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat di negara ini kepada teknologi tanpa mengira peringkat umur," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sharmila memberitahu, selain UTC Kota Bharu, Kelantan mempunyai satu lagi RDC iaitu di Kampung Laut, Tumpat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!