Penduduk mohon semakan kehakiman kelulusan EIA insinerator Batu Arang

KUALA LUMPUR - Penduduk yang membantah pembinaan loji insinerator di Batu Arang, Selangor, memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar kelulusan laporan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekeliling (EIA) projek berkenaan.
Permohonan itu difailkan susulan kelulusan laporan EIA keenam bagi cadangan projek Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGEP) di Lot 3847, Mukim Rawang, Gombak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Julai lalu.
Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara alasan utama permohonan itu ialah laporan EIA kedua hingga keenam tidak dibuka untuk penelitian dan ulasan awam.
Menurut kenyataan itu, keadaan berkenaan menyebabkan penduduk terjejas tidak berpeluang meneliti serta mengemukakan bantahan terhadap sebarang perubahan dan maklumat tambahan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
"Selain itu, kelulusan laporan EIA keenam turut dipersoalkan berikutan dakwaan kurang ketelusan apabila JAS gagal memaklumkan keputusan kelulusan kepada pihak yang membantah.
"JAS juga didakwa gagal memberikan justifikasi terhadap kelulusan berkenaan serta tidak memberikan maklum balas terhadap permohonan mendapatkan surat kelulusan, syarat-syarat kelulusan dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang berkaitan," katanya.
Permohonan itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai potensi kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam, risiko geologi susulan aktiviti perlombongan arang batu di kawasan Batu Arang sebelum ini dan ancaman terhadap Geopark Kebangsaan Gombak-Hulu Langat.
Ia termasuk usaha geopark berkenaan untuk mendapatkan pengiktirafan Geopark Global UNESCO.
Sebelum itu, empat pemohon memfailkan permohonan itu, iaitu jurucakap JRTI, Abdul Hanan Abd Mokti yang turut mewakili Persatuan Kesedaran dan Pendidikan 3R Kuala Lumpur; penduduk Bandar Seri Coalfields, Ng Si Jian; penduduk Batu Arang, Lai Wai Meng; dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Si Jian mempunyai dua anak kecil yang bersekolah kira-kira tiga kilometer dari lokasi cadangan projek, manakala Wai Meng merupakan penduduk generasi ketiga Batu Arang yang menetap kira-kira 500 meter dari tapak berkenaan.
CAP pula diwakili setiausaha kehormatnya, Mageswari Sangaralingam.
Permohonan itu diwakili peguam Jessica Binwani, Lalith Kumar dan Kireshmaa Nair.
Empat responden dinamakan termasuklah Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), YTL Power Generation Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Antara relif dimohon ialah perintah membatalkan kelulusan laporan EIA keenam, penangguhan pelaksanaan kelulusan itu sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan serta pengisytiharan bahawa kelulusan berkenaan tidak sah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, pendengaran permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin ditangguhkan kepada 9 Disember depan.
Penangguhan itu dibuat susulan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Isa Muhammad, kerana memerlukan masa tambahan untuk meneliti dokumen permohonan.
Prosiding itu dikendalikan Hakim Mahkamah Tinggi, S Indra Nehru.
Turut hadir pada prosiding berkenaan, penasihat Persatuan Kelestarian dan Warisan Alam Batu Arang, Fais Azmir.
Persatuan Kesedaran dan Pendidikan 3R Kuala Lumpur turut bekerjasama dengan JRTI, sebuah gabungan masyarakat sivil yang aktif membantah cadangan pembinaan insinerator berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

