Hubungan erat kejiranan jadi kekuatan hadapi banjir

SUNGAI BULOH - Hubungan erat sesama jiran yang terjalin sejak sekian lama menjadi kekuatan penduduk Kampung Melayu Subang apabila mereka saling menghulurkan bantuan dan menyediakan tempat perlindungan sementara ketika banjir kilat melanda kawasan itu.
Keprihatinan itu terbukti apabila penduduk yang mempunyai kediaman lebih tinggi atau rumah dua tingkat menawarkan tempat tinggal kepada jiran yang rumah mereka mula ditenggelami air.
Seorang mangsa, Ros Safizul Anuar, 45, berkata, hujan lebat mula melanda kawasan berkenaan kira-kira jam 3.30 petang sebelum air dari jalan di hadapan rumahnya memasuki kediaman dalam tempoh kira-kira 20 minit.
Ros Safizul yang bekerja sebagai pembuat perabot berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama isteri dan empat anaknya.
"Semasa air memenuhi kawasan hadapan rumah, saya dan isteri mengalihkan barang-barang di dalam rumah, manakala anak sulung meletakkan kereta di tempat lebih tinggi. Bagaimanapun, kira-kira jam 4 petang, air sudah memasuki rumah sehingga paras kira-kira satu meter.
"Apabila air semakin naik, saya membawa keluarga ke rumah jiran yang mempunyai dua tingkat untuk berlindung, tetapi paras air kemudian meningkat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, dia yang sudah 20 tahun menetap di kampung berkenaan kemudian diselamatkan bersama keluarga dan jiran oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan.
"Kejadian itu antara banjir paling buruk yang pernah dialami keluarganya selepas kali terakhir berdepan situasi sama pada 2021, ketika kawasan berkenaan turut terjejas akibat banjir yang menenggelamkan Taman Sri Muda, Shah Alam," katanya.
Bagaimanapun, katanya, semangat kejiranan yang kuat membolehkan penduduk kampung saling membantu, termasuk menawarkan tempat perlindungan, mengawasi kediaman jiran serta menyelamatkan harta benda ketika air mula naik.
"Kami penduduk kampung saling mengenali dan sudah seperti satu keluarga besar. Sebab itu, apabila berlaku banjir, masing-masing akan membantu antara satu sama lain," katanya.

Ros Safizul berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Melayu Subang serta kawasan berhampiran, termasuk memperluas sungai dan sistem perparitan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fauziah Isnen, 48, berkata, banjir bukan perkara asing bagi penduduk di kawasan tersebut kerana kediaman mereka sering dinaiki air setiap kali hujan lebat melebihi setengah jam.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman menetap di kawasan itu selama belasan tahun, dia sudah dapat menjangkakan rumahnya akan dinaiki air sekiranya hujan berterusan.
"Saya sudah tahu, kalau hujan tidak berhenti dalam tempoh sejam, rumah saya dan kawasan sekitar yang kedudukannya rendah akan dinaiki air.
"Inilah perkara yang kami sekeluarga dan penduduk berhampiran terpaksa harungi sejak sekian lama," katanya.
Fauziah berkata, banjir yang berlaku pada Isnin menyebabkan kebanyakan barangan di rumahnya rosak termasuk mesin basuh dan peti sejuk.
"Saya belum dapat menganggarkan jumlah kerugian, namun mungkin mencecah belasan ribu ringgit," katanya.
Wanita itu mengambil keputusan untuk terus berada di rumah selepas air mulai surut berkata, penduduk kampung turut bergotong-royong membantu membersihkan kediaman jiran yang terjejas.
Fauziah berharap pihak berkenaan, khususnya kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, dapat menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terkesan, terutama mereka yang kehilangan harta benda akibat bencana itu.
Berdasakan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak lapan keluarga dengan 30 mangsa telah ditempatkan di PPS Dewan Siantan, manakala baki 253 keluarga dengan jumlah 545 mangsa lagi memilih untuk tinggal dirumah saudara atau kediaman mereka sendiri selepas air mulai surut.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 petang semalam.
Anggaran jumlah kediaman dinaiki air ialah 30 rumah di Lorong Merbau, Jalan Cengal (tujuh), Jalan Resak (lima), dan Jalan Jati (50).
Pada peringkat awal terdapat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 50-an dan seorang bayi ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Siantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
