GITC perkukuh TVET, jalin kerjasama dengan 100 persatuan industri

GITC raikan Aidilfitri Bersama Media dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap TVET.
GITC raikan Aidilfitri Bersama Media dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap TVET.
A
A
A

PETALING JAYA – Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) bekerjasama rapat dengan 100 persatuan industri untuk mengenal pasti jurang kemahiran semasa bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Usaha kolaboratif itu bertujuan memacu pembangunan bidang TVET selain melakukan semakan kurikulum bagi memastikan ia memenuhi keperluan industri.

Pengerusinya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, dengan memupuk perkongsian kolaboratif aktif bersama syarikat korporat, agensi kerajaan dan institusi TVET, kerjasama itu mampu memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, kerjasama itu termasuk penubuhan penempatan latihan industri, projek penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran dan sumber.

“Sehingga kini, GITC telah berjaya menjalin perkongsian dengan lebih 100 persatuan industri dan, melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), mewujudkan saluran secara langsung bagi penglibatan bersama syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor.

“Dengan memupuk perkongsian yang kukuh antara kerajaan dan industri, kita dapat memastikan graduan TVET berkemahiran tinggi dan mudah diambil bekerja, sekali gus menyumbang secara langsung kepada produktiviti dan daya saing negara.

“Melalui kempen penjenamaan dan promosi yang disasarkan, GITC fokus untuk menarik lebih ramai pelajar ke program TVET serta menonjolkan sumbangan ketara pekerja mahir kepada ekonomi negara.

“Kami juga ingin membangunkan dasar dan garis panduan yang jelas dan konsisten bagi memastikan kualiti serta standard institusi TVET di seluruh negara, termasuk dalam aspek seperti akreditasi, penilaian dan pensijilan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Royale Chulan Damansara, baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!