302 pesara kerajaan jadi mangsa 'scammer' di Pahang

Chon Siang
Chon Siang
A
A
A

KUANTAN – Pesara kerajaan terus menjadi sasaran sindiket penipuan dalam talian apabila seramai 302 individu direkodkan menjadi mangsa sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2022 hingga tahun lalu.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 5,658 kes penipuan yang dilaporkan di negeri ini melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM120 juta.

Menurutnya, trend peningkatan mangsa dalam kalangan pesara dapat dilihat saban tahun berdasarkan data yang dikeluarkan Polis Pahang.

“Pada tahun 2022, seramai 85 pesara kerajaan menjadi mangsa dengan kerugian berjumlah RM8.9 juta dan pada tahun berikutnya, 102 pesara pula terperdaya membabitkan kerugian sebanyak RM3.7 juta.

“Bagi tahun 2024, angka itu meningkat kepada 115 mangsa dengan jumlah kerugian sama seperti tahun 2022 iaitu RM8.9 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Terdahulu, Datuk Wong Tat Chee (ADUN lantikan) ingin mengetahui jumlah pesara kerajaan yang mengalami kerugian akibat penipuan dalam talian bagi tempoh tiga tahun sejak 2022.

Menjawab soalan tambahan V Arumugam (BN - Sabai) berhubung tindakan kerajaan bagi membendung kes itu, Chon Siang menjelaskan bahawa sebanyak 88 ceramah telah dianjurkan oleh Polis Pahang untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.

“Dalam kes ini, saya minta masyarakat agar berhati-hati dan tidak tamak serta tidak mudah terpedaya dalam mengejar kekayaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, kerja-kerja pembangunan Taman Kenderaan Rekreasi (RV) di Pantai Hiburan, Rompin akan bermula bulan ini dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2026.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) untuk membina 10 plot tapak RV di sebahagian kawasan cadangan Taman RV tersebut.

“Cadangan pembangunan Taman RV oleh kerajaan negeri ini diterajui oleh konsortium tempatan yang melibatkan beberapa pelabur swasta, termasuk syarikat Helmut Knaus KG Camping Park,” katanya.

Selain itu, katanya, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) juga akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sokongan seperti jalan ke tapak bagi melengkapkan kebolehsampaian sistem jalan raya dan sambungan utiliti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!