Pesara kerajaan berputih mata, baki akaun tinggal RM18

Seorang wanita warga emas kerugian RM216,200 selepas terpedaya dengan sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pekerja mahkamah dan polis. Gambar hiasan
Seorang wanita warga emas kerugian RM216,200 selepas terpedaya dengan sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pekerja mahkamah dan polis. Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Seorang wanita warga emas kerugian RM216,200 selepas terpedaya dengan sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pekerja mahkamah dan polis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa yang juga pesara kerajaan berusia 66 tahun itu dihubungi sindiket pada 16 Februari lalu.

"Mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita kononnya daripada pihak mahkamah yang memaklumkan terdapat individu telah membuat tuntutan insurans menggunakan namanya.

"Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu menyebabkan panggilannya disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan memaklumkan dirinya terlibat dalam kes penggubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, suspek mengugut kononnya mangsa akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya perkara itu tidak diselesaikan.

"Mangsa yang panik mengikuti arahan suspek untuk mendaftarkan nama dengan satu akaun bank dan segala maklumat perbankan perlu diberikan kepada suspek itu.

"Mangsa diarah memasukkan semua wang simpanan ke dalam akaun tersebut kononnya sebagai langkah keselamatan agar wangnya tidak disekat oleh pihak berkuasa," katanya.

Mohamad Nasir berkata, mangsa dijanjikan kesemua wang tersebut akan dikembalikan setelah kes berjaya diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa menyedari ditipu setelah membuat semakan ke atas akaun tersebut dan mendapati akaun miliknya berbaki RM18.38.

"Siasatan mendapati terdapat 18 transaksi pemindahan wang ke 10 akaun berbeza telah dilakukan dari 25 Feb hingga Isnin lalu dengan jumlah keseluruhan RM216,200," katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan setelah menerima laporan daripada mangsa pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!